Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Peningkatan skor persepsi rasuah baik, tapi masih banyak perlu dilakukan'

Peningkatan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) menunjukkan bahawa usaha membanteras rasuah oleh PH selari dengan kehendak rakyat, kata pemerhati.

Meskipun mengalu-alukan keputusan itu, mereka menggesa kerajaan untuk terus mengatasi masalah rasuah yang sudah berakar lama.

Bercakap kepada Malaysiakini, penganalisis politik James Chin menyatakan bahawa skor berkenaan mencerminkan sokongan orang ramai terhadap tindakan keras terhadap kes-kes yang melibatkan pihak dari rejim politik terdahulu.

Ahli akademik Universiti Tasmania berharap sistem yang mantap akan dilaksanakan agar agensi kerajaan tidak terjebak dalam rasuah.

"Saya fikir kerajaan PH boleh mendapay skor yang lebih baik.

"Jika mereka boleh meletakkan sistem yang betul, saya akan kagum. Polis dan Jabatan Kastam terutamanya perlu ditangani.

"Sekiranya PH boleh membanteras rasuah dalam dua jabatan kerajaan ini, saya akan sangat kagum," kata Chin.

Mengakui bahawa usaha kerajaan membanteras rasuah membuahkan hasil, Mohd Azizuddin Mohd Sani dari Universiti Utara Malaysia berkata PH seterusnya perlu membanteras pembiayaan politik.

"Saya fikir usaha PH untuk membanteras rasuah sedang menunjukkan kesan secara beransur-ansur. Untuk memperkasakan SPRM, tender terbuka dalam projek kerajaan dan perbicaraan 1MDB adalah beberapa usaha oleh kerajaan.

"Tetapi masih banyak yang perlu dilakukan. Kerajaan PH telah berjuang untuk membasmi sistem pembiayaan politik kerana orang ramai sudah terbiasa dengan sistem itu," kata profesor sains politik itu ketika dihubungi.

NGO integriti antarabangsa Transparency International hari ini mengumumkan bahawa Malaysia melonjak 10 tempat ke kedudukan 51 bagi CPI pada tahun 2019, yang merupakan kedudukan paling baik dalam tempoh lapan tahun ini.

Skor Malaysia juga meningkat daripada 47 mata kepada 53 mata.

Antara sebab- peningkatan itu adalah tindakan pantas dalam kes rasuah yang berprofil tinggi; kebebasan media; Jawatankuasa Kira-Kira Awam diketuai pembangkang; mewajibkan pengisytiharan aset kepada wakil rakyat; dan Pelan Anti Rasuah Kebangsaan.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya menyambut baik peningkatan skor CPI itu dan berikrar untuk terus berusaha untuk meningkatkan ketelusan.

"Kami (SPRM) akan terus berusaha untuk ketelusan yang lebih baik dengan lebih banyak penyertaan daripada semua pihak yang berkepentingan dan mekanisme yang lebih kuat untuk menguruskan perlindungan pemberi maklumat.

"Kami juga menggesa agar semua peringkat badan pentadbiran kerajaan untuk meningkatkan integriti dan tadbir urusnya," katanya dalam satu kenyataan.

Dalam kenyataan berasingan, veteran DAP, Lim Kit Siang memuji pencapaian CPI itu dan berharap ia akan mendorong kerajaan untuk terus memerangi rasuah.

"Kita tidak patut berpuas hati. Kita masih di belakang 50 negara lain.

"Usaha membanteras rasuah, walaupun sangat ketara sejak perubahan kerajaan persekutuan pada 9 Mei 2018; harus dianggap sebagai permulaan.

"Malaysia tidak sepatutnya berpuas hati sehingga kita berada di antara 30 negara teratas dalam integriti awam," katanya.

Lihat Komen
ADS