Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
OKU didakwa lakukan amang seksual, liwat anak kandung

Seorang pemegang kad orang kurang upaya (OKU) penglihatan mengaku tidak bersalah atas lima pertuduhan melakukan amang seksual dan liwat terhadap anak perempuannya berusia 17 tahun di Batu Gajah, sejak tahun lepas.

Bapa berumur 43 tahun itu membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norashima Khalid.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa kira-kira pukul 5 petang antara 26 Dis hingga 27 Dis 2019 dan antara pukul 3 petang hingga 3.30 petang pada 7 dan 13 Jan lepas di sebuah rumah di Kampung Baru Sungai Terap, Batu Gajah.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat serta menjalani pengawasan polis sehingga tiga tahun, jika sabit kesalahan.

Bapa kepada empat anak itu turut didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii kira-kira pukul 5 petang antara 26 hingga 27 Dis, dan kira-kira pukul 3.30 petang pada 7 Jan di tempat sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun serta sebat selain menjalani pengawasan polis tidak melebihi tiga tahun.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Farhana Hashim, manakala tertuduh diwakili peguam Khairul Fairuz Rahman.

Terdahulu, Khairul Fairuz meminta mahkamah menawarkan ikat jamin yang rendah ke atas tertuduh yang mengalami masalah penglihatan akibat kemalangan semasa bekerja di sebuah kilang 13 tahun lepas kerana kini hanya bergantung kepada bantuan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) setiap bulan selain mempunyai empat anak masih bersekolah.

Selain itu, Khairul Fairuz juga memohon mahkamah membenarkan jaminan terhadap tertuduh kerana dua anak perempuannya berusia 13 tahun termasuk mangsa sudah berpindah ke Sarawak bersama ibu mereka.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM25,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tertuduh dikehendaki melapor diri di balai polis terdekat setiap bulan dan tidak boleh mengganggu mangsa serta mana-mana saksi atau jaminan ditarik semula.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 27 Feb ini bagi menunggu laporan forensik ke atas mangsa.

- Bernama

Lihat Komen
ADS