Umno Sabah menggesa kerajaan negeri supaya lebih tegas dalam memburu Pendatang Tanpa Izin (Pati) dan tidak sekadar membatalkan Pas Sementara Sabah (PSS).

Timbalan Ketua Umno Sabah, Yakub Khan berkata Pati merupakan salah satu isu utama di negeri itu yang mengundang kegusaran masyarakat mengenai ancaman keselamatan.

"Bukan setakat membatalkan cadangan perlaksanaan malah kerajaan perlu mempergiatkan usaha melalui badan berwajib untuk memburu, menangkap dan mengusir Pati ini dari bumi Sabah.

"Pati tersebut bukan hanya tertumpu kepada warga asing Filipina dan Indonesia sahaja tetapi juga Pati dari negara-negara lain yang sewenang-wenangnya menetap tanpa dokumen di Sabah.

"Seperti yang kita ketahui terdapatnya warga China memasuki negara ini termasuk Sabah tetapi tiada rekod menunjukkan mereka sudah keluar dari sini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Untuk rekod, pada Dis tahun lalu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah bersama pelbagai agensi seperti Jabatan Imigresen, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Kesihatan dilapor menghantar pulang hampir 4,000 Pati di negeri itu.

Timbalan Pengarah Keselamatan MKN Sabah, Muhammad Hafiz Abdul Rahman berkata ia terdiri daripada 3,800 pendatang dari Filipina dan 109 pendatang Indonesia.

Kelmarin, ketua menteri Sabah, Shafie Apdal mengumumkan keputusan kerajaan negeri membatalkan hasrat melaksanakan PSS ekoran keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis 18 Jan lalu, yang menyaksikan Warisan tewas kepada BN.

Jelas Shafie, keputusan PRK Kimanis dan bantahan NGO memberi gambaran jelas rakyat Sabah menolak pelaksanaan PSS.

Mengulas lanjut, Yakub secara peribadi menyambut baik keputusan Shafie membatalkan pelaksanaan PSS yang dijadualkan Jun nanti.

Menurut Yakub, rakyat perlu tahu bahawa Pati di Sabah bukan sahaja dari Filipina tetapi juga dari Indonesia dan negara-negara lain seperti China, Taiwan dan Nigeria.

Oleh itu katanya, ketelusan perlu dalam pembatalan PSS supaya ia tidak sekadar mengaburi mata rakyat.

"Pemegang-pemegang IMM13, Sijil Banci dan Kad Burung-Burung itu masih lagi dikategorikan sebagai Pati dan mereka inilah yang perlu di hantar balik ke negara asal mereka termasuklah Pati yang tidak mempunyai sebarang dokumen yang sah," jelasnya.

PSS dicadang dikeluarkan kepada warga asing yang memegang dokumen IMM13, Kad Burung-Burung dan Sijil Banci di Sabah berkuat kuasa 1 Jun 2020.

Pemegang IMM13 ialah pelarian Filipina yang melarikan diri daripada rejim Marcos pada 1970-an.

Pendatang ekonomi, sebaliknya diberikan Kad Burung-Burung pada tahun 1980-an. Selainnya, diberikan kad Sijil Banci oleh Pasukan Petugas Khas Persekutuan pada 1990-an.

Semalam Pengerusi Amanah Sabah, Haris Alimudin dilapor meminta pihak yang menentang PSS supaya tampil memberi idea membina bagi menangani kewujudan lebih 1.2 juta Pati di negeri itu.

Katanya, PSS merupakan dokumen yang sebelum ini diyakini mampu mengatasi masalah pemalsuan dokumen sejak sekian lama, namun dipolitikkan sehingga niat baik kerajaan diselewengkan.