Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pembangkang tak boleh jual mahal, kata Mohamad Hasan

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan berkata sebagai blok pembangkang, BN tidak boleh "jual mahal" dalam menyambut permintaan pihak yang mahu kembali bersama gabungan itu.

Ia susulan kenyataan oleh bekas parti komponen BN yang menyuarakan hasrat untuk kembali bersama gabungan itu.

"Kita sebagai pembangkang, kita jangan jual mahal, kan? Beggars cannot be choosy (Orang yang inginkan sesuatu tidak boleh bersikap memilih-milih peluang).

"Asalkan mereka mempunyai hasrat dan mahu bersama-sama membina satu blok pembangkang yang kuat dan akhirnya nanti akan berhadapan (dengan PH) dalam pilihan raya, insyaAllah boleh menang," katanya

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri sambutan rumah terbuka MCA sempena Tahun Baru Cina di Wisma MCA, di Jalan Ampang, Kuala Lumpur hari ini.

Dalam kempen PRK Kimanis baru-baru ini, Parti Bersatu Sabah (PBS) turun membantu kempen BN dan tidak menolak kemungkinan kembali menyertai gabungan tersebut.

PBS meninggalkan BN selepas kekalahan gabungan itu dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14 pada 2018.

Presidennya, Dr Maximus Ongkili berkata meskipun PBS dan BN tidak bersama tetapi hasrat menyertai semula BN boleh "dirunding" dengan Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi, menjelang PRU-15, dua tahun lagi.

Maximus berkata demikian dalam Himpunan Muafakat Rakyat Sabah di Kimanis yang turut dihadiri Ahmad Zahid.

BN menang PRK Kimanis apabila calon dari Umno Mohamad Alamin merengkuh majoriti 2,029 undi, jauh lebih besar daripada kemenangan tipis 156 undi yang diraih Anifah Aman ketika PRU-14 lalu.

Mohamad menewaskan calon Warisan, Karim Bujang yang dibantu oleh Ketua Menteri Sabah, Shafie Apdal dalam kempennya.

Bagi Presiden MCA Wee Ka Siong pula, perkara tersebut boleh dibawa berbincang memandangkan semangat Muafakat Nasional terbuka seluas-luasnya kepada semua pihak yang mahu bekerjasama dalam blok pembangkang bagi mencapai matlamat yang sama.

Namun, setakat ini, katanya BN masih lagi terdiri hanya dengan tiga parti komponen, iaitu Umno MCA dan MIC.

"Sebab tu saya kata, sama ada kita nak buat satu ikatan rasmi (formal engagement) secara satu perikatan yang nak dibentuk, kita tak pernah fikir perkara ini.

"[...] Jadi yang ini (kerjasama atau penyertaan parti lain ke dalam BN), kita biarlah (terjadi) secara semulajadi. Setakat ini, yang saya tahu BN cuma ada tiga komponen parti dan kita tak menolak kemungkinan untuk bekerjasama.

"Dalam apa bentuk, kita belum buat kata putus tapi kita bersifat terbuka dengan mana-mana pihak janji ia atas kepentingnan rakyat sejagat," katanya kepada pemberita di majlis sama.

Lihat Komen
ADS