Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Wee: Terap semangat muafakat lebih penting dari tandatangan perjanjian

Presiden MCA Wee Ka Siong mengulangi pendirian bahawa tidak ada keperluan untuk melibatkan MCA secara rasmi dalam Piagam Muafakat Nasional.

Kata Wee, perkara yang lebih penting adalah agar semangat Muafakat Nasional diterapkan dan dihayati oleh parti-parti politik di blok pembangkang.

"Kalau kita berpegang pada satu kertas (perjanjian), akhirnya masing-masing bergaduh, saya tak nampak apa dia punya kebaikan yang akan dinikmati.

"Tapi bagi saya, semangat (Muafakat Nasional) perlu diterapkan penghayatan, itu sangat penting. Kita bekerjasama (dalam) isu sejagat," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan rumah terbuka Tahun Baru Cina di Wisma MCA, di Jalan Ampang, Kuala Lumpur hari ini.

Beliau ditanya pendirian MCA dalam mendukung Muafakat Nasional sama ada hanya sebagai satu bentuk soladiriti di blok pembangkang, atau perlu melibatkan perjanjian persefahaman (MoU) seperti yang dilakukan Umno dan PAS.

Sebelum itu, mengulas tentang Muafakat Nasional, Wee berkata dia konsisten sejak dulu bahawa muafakat itu tidak harus ditanggap sebagai satu formula, tetapi harus diterap dari segi semangatnya.

"Ia satu konsep yang didukung oleh gagasan parti yang merasakan perlu ada muafakat sesama kita baik dalam konteks solidariti pembangkang, atau mana-mana pihak termasuk mereka yang sebelum ini berkecuali," katanya.

Semangat itu, katanya, terbuka luas kepada semua parti yang mempunyai matlamat perjuangan yang sama atas kepentingan awam, termasuk kepada mereka yang telah keluar dari BN seperti yang disaksikan dalam PRK Kimanis lalu dan tidak terbatas pada parti tertentu sahaja.

Pendirian Wee itu, meskipun senada dari segi kerjasama pembangkang, dilihat sedikit berbeza dengan Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan.

Mohamad berkata Muafakat Nasional kini berada di fasa kedua (selepas Penyatuan Ummah), iaitu peluang dibuka seluas-luasnya untuk bekerjasama dengan sesiapa sahaja sebagai blok pembangkang.

Hal itu katanya, memandangkan sebagai parti politik, tujuan utama adalah untuk menang pilihan raya.

"Kita parti politik, bukan NGO. Parti politik tujuan asas kita adalah untuk menang pilihan rata dan tubuhkan kerajaan.

"Saya berbohonglah kalau saya tak ada cita-cita utntuk membawa BN dan rakan-rakan lain utk menang dalam PRU-15 nanti.

"Untuk menang kita perlukan persefahaman dan penyatuan. Ini yang sedang kita buat, dan kita harap Muafakat Nasional ini tak digambarkan sebagai satu permuafakatan yang akan memudaratkan fabrik berbilang kaum di negara kita," katanya di majlis sama.

Sementara Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan pula mengulangi pendiriannya sebelum ini bahawa Muafakat Nasional turut merangkumi Gagasan Sejahtera (dianggotai PAS bersama Ikatam dan Berjasa) dan BN (dianggotai Umno bersama MCA dan MIC).

"Bila bercaka tentang Muafakat Nasional, ia jelas dalam perjanjian persefahaman (MoU) antara PAS dan Umno, ia termasuk Umno, MCA, MIC, dan parti komponen Gagasan Sejahtera.

"Secara asasnya kita boleh kata MCA dan MIC parti dalam Muafakat Nasional sebab hubungan kita semua dalam blok pembangkang, di dalam dan luar Parlimen.

"Jadi kemungkinannya tinggi untuk kita bersama-sama sebagai satu pasukan dalam PRU-15,"katanya.

Piagam Muafakat Nasional dimeterai pada 14 September tahun lalu menyaksikan kerjasama lebih kukuh antara PAS dan UMNO, selepas bekerjasama tanpa perjanjian dalam beberapa PRK sebelum itu.

Meskipun Takiyuddin pernah mendakwa MCA dan MIC turut terlibat dalam Muafakat Nasional sebelum ini, MCA dan MIC memberikan bayangan sebaliknya.

Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki sendiri dalam Perhimpunan Agung Umno pada Disember menggesa agar Muafakat Nasional diinstitusikan dengan segera untuk turut melibatkan MCA dan MIC bersama parti-parti lain yang mesra BN.

Lihat Komen
ADS