Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis nafi lelaki mati dalam bas di Johor sebab koronavirus

Polis Johor menafikan kematian seorang lelaki di dalam sebuah bas pelancong di pusat pemeriksaan pasport Kompleks Sultan Abu Bakar, Tanjung Kupang dekat Gelang Patah pagi semalam, berkaitan dengan 2019 novel koronavirus.

Malah Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP Dzulkhairi Mukhtar berkata, lelaki tersebut bukan warganegara China seperti yang diviralkan, sebaliknya seorang warganegara Singapura dan telah disahkan meninggal dunia, akibat serangan jantung.

Katanya, polis menerima panggilan daripada pegawai imigresen Kompleks Sultan Abu Bakar, kira-kira 7.05 pagi semalam, memaklumkan seorang lelaki warganegara Singapura berumur 78 tahun, tidak sedarkan diri di dalam bas pelancong yang berhenti di hadapan kaunter imigresen, untuk pemeriksaan pasport.

"Siasatan awal di tempat kejadian mendapati lelaki itu bersama isterinya yang berumur 68 tahun sedang dalam perjalanan dari Singapura, menuju ke Genting Highland untuk melancong.

"Semasa bas berhenti di pusat pemeriksaan pasport, lelaki itu tiba-tiba mengadu sakit dada dan berasa kurang selesa kepada isterinya yang duduk bersebelahan di bahagian tempat duduk hadapan bas," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dzulkhairi berkata, lelaki terbabit kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan doktor mengesahkan dia meninggal dunia akibat serangan jantung, selain mempunyai rekod perubatan sakit jantung dan rawatan yang dijalankan di Singapura.

"Berikutan penularan kejadian ini di laman sosial, orang awam dinasihati agar berhati-hati dalam menyebarkan berita yang belum dipastikan kebenarannya.

"Pihak polis telah membuat siasatan terhadap individu yang menyebarkan berita palsu ini di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS