Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Najib: K'jaan sekat kemasukan dari China, Hong Kong ketika SARS
Diterbitkan:  Jan 27, 2020 3:25 PM
Dikemaskini: 9:58 AM

Kerajaan pernah menghalang pengunjung daripada China dan Hong Kong daripada masuk ketika penularan wabak Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS), kata bekas perdana menteri Najib Razak.

Najib berkata ia berlaku pada 2003, iaitu ketika tempoh pertama Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri (PM).

"Ada laman (Facebook) penulis media sosial PH yang dakwa bahawa kerajaan BN masa dahulu tidak pernah menghalang pelancong apabila menghadapai ancaman wabak virus. Ini tidak benar."

"Kerajaan di bawah PM ke-4 dahulu pernah menghalang semua pelawat dari negara China dan Hong Kong semasa wabak SARS merebak pada tahun 2003," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Beliau turut mengongsikan pautan laporan The Wall Street Journal (WSJ) bertajuk "Malaysia Sets Travel Restrictions In Effort To Limit Spread of SARS" pada 10 April 2003.

Laporan itu antara lain menyatakan kerajaan mengenakan sekatan sementara terhadap pengunjung dari China dan Hong Kong sebagai usaha menghalang penularan wabak SARS.

Untuk rekod, berdasarkan laporan itu, SARS pertama kali muncul di wilayah Guangdong di China pada November 2002, manakala sekatan dikenakan pada April 2003.

Selain itu ia juga menyatakan kerajaan mengenakan sekatan terhadap pelawat dari Kanada, Taiwan dan Vietnam.

"Sekatan bersyarat juga dikenakan ke atas pelawat dari negara-negara tertentu ketika itu.

"Tapi PM ke-7 tak buat apa yang PM ke-4 pernah buat dahulu," kata Najib.

Dalam sidang media hari ini, Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad berkata setakat ini tiada negara yang menghalang kemasukan dari China susulan meletusnya koronavirus di negara itu.

Beliau berkata, ia berdasarkan ketetapan yang dibuat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta Public Health Emergency of International Concern.

Selepas mempengerusikan mesyuarat tergempar Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkenaan koronavirus semalam, Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata kerajaan tidak akan menyekat kemasukan warga China ke Malaysia, tetapi menegaskan kawalan di pintu masuk negara akan diketatkan.

Lihat Komen
ADS