Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Menteri: Koronavirus mungkin beri kesan ekonomi jika berlanjutan

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohaned Azmin Ali berkata wabak novel koronavirus 2019 (2019-nCoV) belum mencapai tahap menjejaskan ekonomi negara, tetapi tidak menolak kemungkinan itu jika ia berterusan.

Bagaimanapun Azmin berkata pada masa ini beliau tidak mahu membuat sebarang spekulasi berkenaan perkara itu.

"Sekiranya perkara ini berterusan seperti juga dengan wabak-wabak lain sebelum ini, pastinya ia akan beri kesan kepada ekonomi negara.

"Namun saya tak mahu membuat spekulasi kerana perkara ini perkara serius yang perlu dipantau oleh agensi dan kementerian berkenaan.

"Dan kita (Kementerian Hal Ehwal Ekonomi) akan ambil maklumat dan nasihat daripada mereka tentang langkah seterusnya untuk diambil," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Acara Kerjasama Strategik Petronas dan Agrobank: Program Memperkasakan B40 di Pusat Persidangan Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kesan wabak itu, yang setakat ini mencatatkan 4,500 kes dengan 106 kematian di China, kepada ekonomi negara.

Mengulas lanjut, Azmin berkata belum ada keperluan untuk menghentikan kegiatan import dan eksport dengan China, terutama dari Wuhan.

Tetapi kerajaan tidak memenadang remeh isu wabak itu dan Kementerian Kesihatan dan agensi berkaitan sentiasa membuat pemantauan secara dekat, katanya lagi.

"Sebab itu setelah taklimat Kementerian Kesihatan kepada perdana menteri, kerajaan mengambil keputusan mengehadkan pergerakan (kemasukan warga China dari) dua Wuhan dan Hubei. Itu saja pada ketika ini, namun kita masih memantau keadaan semasa," katanya lagi.

Beliau turut memberi jaminan bahawa kerajaan memberi tumpuan kepada pergerakan pelancong dan bahan makanan dari China bagi menjamin keselamatan rakyat Malaysia.

Setakat ini, ada empat kes positif koronavirus yang telah disahkan di Malaysia, kesemuanya melibatkan warga China di Johor.

Sementara itu empat individu, termasuk dua warga tempatan, yang disyaki dijangkiti virus itu kini ditempatkan di wad isolasi di hospital.

Kementerian Kesihatan hari ini memperkukuh saringan kesihatan di semua pintu masuk antarabangsa (PMA) negara sebagai langkah kesiapsagaan menangani jangkitan virus itu.

Ia termasuk menempatkan pengimbas haba di pusat-pusat entri bagi mengesan kehadiran individu yang mempunyai gejala demam, antaranya di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) yang merupakan pintu masuk darat dari Singapura.

Purata pelancong China yang masuk melalui KSAB adalah 3,000-3,500 orang sehari sepanjang 2019.

KKM turut mengeluarkan senarai 26 hospital di seluruh negara yang akan berfungsi sebagai hospital rujukan bagi mengendalikan kes-kes yang disyaki (PUI) dan sahih bagi 2019-nCoV. 

Lihat Komen
ADS