Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Daging, buah diperiksa rambang di pintu masuk negara’

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub berkata, setakat ini Malaysia tidak ada mengimport produk pertanian dari daerah Wuhan yang merupakan kawasan asal-usul wabak novel koronavirus 2019 (2019-nCoV).

"Setakat ini, tiada produk pertanian yang diimport dari daerah Wuhan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Acara Kerjasama Strategik Petronas dan Agrobank: Program Memperkasakan B40 di Pusat Persidangan Kuala Lumpur.

Beliau disoal tentang apakah kerajaan akan melakukan perbincangan dengan China tentang produk pertanian yang diimport dari negara berkenaan.

Bagaimanapun, kata Salahuddin, kementeriannya perlu sentiasa bersiap siaga dalam menghadapi wabak tersebut.

Selain itu, ekoran penularan wabak (2019-nCoV) juga, beliau turut disoal tentang rancangan kerajaan memandangkan negara mengimport RM50 bilion produk makanan setiap tahun, kebanyakannya dari China.

Jelasnya, setakat ini virus tersebut berjangkit bukan melalui bahan makanan.

"Saya telah diberi maklum bahawa setakat ini virus ini merupakan penyebaran antara manusia. Ia tidak lagi melibatkan bahan makanan," katanya.

Bagaimanapun, tambahnya, beliau telah mengarahkan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) untuk membuat pemeriksaan secara rambang di semua pintu masuk negara.

Katanya, pemeriksaan itu dilakukan terhadap item-item seperti daging dan buah-buahan.

"Walaupun tiada fakta yang menunjukkan berlakunya penyebaran melalui makanan tetapi itu sebagai langkah pencegahan," jelasnya lagi.

Setakat ini, wabak itu mencatat 4,500 dan 106 kematian di China, tempat wabak ini bermula.

Di Malaysia pula, empat kes positif wabak koronavirus dicatatkan yang kesemuanya merupakan kes import, manakala empat lagi kes disyaki dicatatkan yang turut melibatkan dua warga tempatan.

Wabak itu dikesan berpunca daripada sebuah pasar makanan laut di Wuhan yang turut menjual hidupan liar.

Hari ini, KKM memperkukuh aktiviti saringan kesihatan di semua pintu masuk antarabangsa (PMA) negara sebagai langkah kesiapsagaan menangani jangkitan virus itu.

Ini termasuklah menempatkan pengimbas haba di pusat-pusat entri bagi mengesan kehadiran individu yang mempunyai gejala demam, termasuklah di pintu masuk darat dari Singapura di Johor yang menerima purata pelancong China hingga 3,500 orang sehari pada tahun lalu.

Lihat Komen
ADS