Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kesedar tumpu selesai geran hak milik tanah 2,238 peneroka

Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) akan memberi tumpuan dalam menyelesaikan penyerahan geran hak milik tanah kekal kepada 2,238 peneroka secara berperingkat mulai tahun ini.

Pengerusinya, Sazmi Miah berkata di bawah fasa pertama, Kesedar menyasarkan untuk menyelesaikan sekurang-kurangnya dua daripada sembilan Rancangan Kemajuan Tanah (RKT).

“Sebilangan besar peneroka kini sudah berumur lebih 60 tahun dan sewajarnya diberi tawaran itu selepas meneroka tanah RKT selama 40 tahun,” katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas perjumpaan dengan pengerusi-pengerusi Majlis Pembangunan Komuniti Kampung Persekutuan (MPKKP) di Pasir Puteh hari ini.

Sazmi Miah (tengah)

Sazmi berkata dalam tempoh itu, peneroka diberi kawasan seluas 4.6 hektar termasuk tapak rumah dan ladang kelapa sawit atau getah di bawah konsep pengurusan ‘Ala Kelantan’ iaitu sebilangan besar peneroka akan mengerjakan sendiri tanah masing-masing.

“Antara masalah yang timbul terdapat peneroka mengusahakan kawasan masing-masing melebihi had ditetapkan kerana pada masa mereka ditempatkan di situ, tiada sempadan terperinci dilakukan tetapi kita akan cuba selesaikan secara baik,” katanya.

Beliau berkata selain itu, Kesedar juga menawarkan penyelesaian secara alternatif sama ada mengerjakan sendiri tanaman baru kelapa sawit atau getah, atau menukarnya dengan tanaman lain seperti kelapa, durian musang king kepada pengurusan pihak ketiga untuk mendapatkan hasil yang lebih.

Katanya, Kesedar mempunyai perancangan khusus untuk menukar ladang kelapa sawit atau getah kepada tanaman durian musang king, kelapa atau tanaman kontan yang membabitkan kawasan seluas 1,800 hektar di Paloh 4.

“Pada masa ini Kesedar sedang menyiapkan kertas kerja mengenainya sebelum dikemukakan kepada kementerian terlibat supaya dapat dimasukkan dalam pembentangan Rancangan Malaysia ke-12,” katanya.

-Bernama

Lihat Komen
ADS