Beberapa peraturan dalam peraturan pilihanraya telah dipinda dan dikuatkuasakan mulai 5 Mei lalu, antaranya membabitkan perubahan pada peratusan perbezaan undi bagi membolehkan pengiraan semula undi dibuat.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman

menjelaskan, perbezaan antara bilangan undi yang diperolehi oleh calon yang menang dengan calon yang mendapat undi kedua terbanyak telah dinaikkan daripada dua peratus kepada empat peratus.

Selain itu katanya, tempat untuk melakukan pengiraan semula undi juga hanya dibolehkan di tempat mengira undi sahaja, tidak boleh lagi dilakukan di tempat penjumlahan undi.

"Dengan ini subperaturan 5B dalam Peraturan 25D yang membolehkan pengiraan semula undi di pusat penjumlahan rasmi undi, dimansuhkan."

"Pindaan ini dilakukan untuk tidak lagi mengulangi pengiraan yang telah dilakukan dengan tepat di tempat-tempat mengundi dan keputusan-keputusan yang telah disahkan oleh ketua-ketua tempat mengundi dan ejen-ejen calon yang hadir," katanya dalam sidang akhbar di Kucing hari ini.

Menurut laporan Bernama Abdul Rashid berkata, Pindaan Peraturan 25 (13) bertujuan memberi ruang yang lebih bagi pengiraan semula undi di tempat mengundi agar calon yang terlibat berpuas hati apabila keputusan muktamad diumumkan di pusat penjumlahan rasmi undi.

Ia juga bertujuan mengelak pertindihan kerja dan mengelakkan tidak berlakusebarang ketegangan disebabkan ada keputusan yang tertangguh ekoran kelewatan pengiraan semula undi di tempat penjumlahan undi.

Menurut beliau, pindaan ke atas peraturan-peraturan pilihanraya ini digunapakai dalam pilihanraya negeri Sarawak yang sedang berlangsung sekarang.

Beliau berkata langkah itu membabitkan pindaan Perjalanan Pilihan Raya (1981)dan Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003 berkuatkuasa mulai 5 Mei.

"Terdapat tujuh perkara utama yang dipinda dalam peraturan bagi perjalanan pilihanraya manakala tiga pindaan dalam peraturan pengundian pos yang telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dan diwartakan pada 4 Mei," katanya.

Antara peraturan perjalanan pilihanraya yang penting menyentuh Peraturan 11(5) yang memberi ruang kepada SPR membuat sesuatu perubahan kerana sebab tertentu di luar kawalan SPR yang memerlukan tindakan segera.

Abdul Rashid berkata pindaan itu membolehkan SPR memberi notis kepada orang ramai mengenai perubahan yang berlaku dan mewartakannya kemudian.

Undi pos

"Perkara di luar kawalan ini seperti keadaan cuaca yang buruk sehingga menyebabkan orang ramai tidak boleh keluar mengundi lalu pengundian boleh ditunda ataupun pusat pengundian terpaksa dipindahkan ke tempat lain," katanya.

Sebelum ini, sebarang perubahan dalam urusan pilihan raya perlu diwartakan terlebih dahulu sebelum boleh dikuatkuasakan.

Pada pilihan raya Sarawak kali ini, beliau berkata penulisan nombor siri pengundi di atas buku kaunterfoil kertas undi tidak lagi dilakukan berikutan pindaan Peraturan 19(3).

"Dengan pindaan ini keraguan dan salah tafsir orang ramai mengenai tujuan sebenar undang-undang asal kononnya ia bertujuan melihat undi yang dipangkah oleh pengundi tidak timbul. Salah tafsiran berhubung penulisan nombor siri kertas undi pada kaunterfoil kertas undi dapat dihapuskan," katanya.

Abdul Rashid berkata Peraturan 25E mengenai penyimpan dokumen pilihanraya turut dipinda bagi mengurangkan perbelanjaan kerajaan yang terpaksa menyewa bangunan atau setor bagi penyimpanan dokumen berkenaan sebelum ia dimusnahkan.

Sebelum ini, tempoh penyimpanan adalah selama enam bulan selepas pengundian.

"Dengan pindaan ini, dokumen hanya perlu disimpan sehingga tempoh yang ditetapkan untuk mengemukakan petisyen pilihanraya sahaja," katanya.

Mengenai tempoh penyimpanan itu, Abdul Rashid berkata petisyen dikemukakan dalam tempoh sebulan selepas tarikh pengundian. Oleh itu, tempoh penyimpanan dokumen pilihanraya kini mungkin hanya setakat dua bulan setengah sebelum ia boleh dimusnahkan.

Peraturan lain yang dipinda ialah Peraturan 5 membabitkan pembayaran deposit oleh calon yang kini boleh menggunakan wang tunai dan bank deraf serta tuntutan wang berkenaan mesti dilakukan dalam tempoh setahun.

"Sekiranya wang itu tidak dituntut dalam tempoh setahun, wang berkenaan akan dimasukkan ke dalam Kumpulan Wang Yang Disatukan. Pindaan bertujuan memperkemaskan pengurusan kewangan kerajaan," katanya.

Berhubung peraturan pengundian pos, Abdul Rashid berkata Peraturan 3 (1) (d) mengenai pegawai awam yang bekerja sepenuh masa di luar negara tidak lagi dibenarkan memohon undi pos.

Peraturan itu dimansuhkan kerana tidak ada seorang pun pengundi awam di dalam kategori itu pernah memohon mengundi secara pos.

Pengerusi SPR berkata permohonan pengundian pos kini boleh dilakukan terus kepada pegawai pengurus dan tidak perlu lagi melalui Pengarah Pilihan Raya Negeri kerana pegawai pengurus merupakan pihak yang bertanggungjawab mengeluarkan kertas undi pos.

Peraturan 7(1) peraturan pengundian pos turut dipinda selaras dengan pindaan Peraturan 19(3) peraturan perjalanan pilihanraya iaitu membatalkan penulisan nombor siri pemilih di atas buku kaunterfoil kertas undi.

Abdul Rashid berharap pindaan terhadap kedua-dua peraturan itu akan menjadikan pengendalian pilihanraya Sarawak yang terbaik dan penanda aras kepada pengurusan pilihanraya lain pada masa depan.