Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Jumlah kematian akibat koronavirus di China kini 259 orang
Diterbitkan:  Feb 1, 2020 10:38 AM
Dikemaskini: 2:38 AM

Jumlah kematian akibat wabak koronavirus di China mencecah ke angka 259 orang setakat semalam, lapor Reuters yang memetik kenyataan stesen berita milik Beijing, CCTV.

Jumlah itu, lapor agensi berita berkenaan, menunjukkan peningkatan seramai 46 kes berbanding tempoh sebelumnya.

Menurut data Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China, jumlah kes baru yang dikesan di seluruh negara pada Jumaat ialah sebanyak 2,102.

South China Morning Post pula melaporkan jumlah keseluruhan kes yang dikesan di 31 wilayah China dan rantau autonomi negara itu menjadi 11,791 kes.

Sementara itu menurut pihak berkuasa kesihatan di wilayah Hubei, setakat awal pagi ini ada 45 kematian baru direkodkan manakala 1,347 kes baru disahkan.

Jumlah kematian di Hubei kini mencecah 249 orang, manakala kes positif setakat ini menjadi 7,153.

Reuters melaporkan di Wuhan - ibu negeri Hubei yang menjadi sumber virus itu - sebanyak 576 kes baru dikesan. Pada masa sama pihak berkuasa merekodkan 33 kes kematian baru akibat virus tersebut.

Secara keseluruhan jumlah kematian akibat koronavirus di Wuhan menjadi 192 orang setakat pagi ini.

Pihak berkuasa Hubei masih mengekalkan perintah berkurung ke atas penduduk wilayah terbabit dengan jalan-jalan ditutup, manakala sistem pengangkutan awam dihentikan.

Bagaimanapun menurut Reuters, masih ada segelintir orang melanggar perintah berkenaan dengan meninggalkan kawasan kediaman masing-masing.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS