Effendi: 'Saya tidak bertanding kerana penuhi permintaan PM...'
Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Mohd Effendi Norwawi yang sebelum ini disebut-sebut sebagai salah seorang calon pengganti Ketua Menteri Sarawak menjelaskan, beliau tidak bertanding dalam plilihanraya negeri kali ini kerana memenuhi kehendak Perdana Menteri.
Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Mohd Effendi Norwawi yang sebelum ini disebut-sebut sebagai salah seorang calon pengganti Ketua Menteri Sarawak menjelaskan, beliau tidak bertanding dalam plilihanraya negeri kali ini kerana memenuhi kehendak Perdana Menteri.
Effendi berkata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu beliau menumpukan peranannya dalam pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).
"Memanglah saya dari Sawarak, saya mencintai negeri saya. Walaupun demikian saya telah diminta oleh Perdana Menteri untuk berkhidmat di Pusat dan Ketua Menteri pun telah bersetuju supaya saya pada masa ini menumpukan perhatian saya kepada pelaksanaan RMK-9 yang amat penting sekali... peranan saya lebih berkesan untuk seluruh negara.
"Ini yang kita putuskan sebab itulah saya tidak bertanding dalam pilihan raya Sarawak kali ini," katanya.
Sebelum ini Effendi adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Dalat. Kerusi Dalat adalah salah satu daripada dua kerusi yang dimenangi BN tanpa bertanding pada hari penamaan calon 9 Mei lalu. Satu lagi kerusi yang dimenangi BN ialah Daro.
Menurut laporan Bernama, Effendi berkata demikian dalam Rancangan 60 minit Bersama Menteri yang disiarkan RTM 1 malam semalam. Rancangan temubual selama sejam itu dikendalikan Pengerusi Bernama Datuk Mohd Annuar Zaini.
Menyentuh tentang peluang BN dalam pilihanraya negeri yang kesembiloan itu, beliau yakin BN menyapu bersih semua 71 kerusi yang dipertandingkan pada pilihan raya negeri Sarawak kesembilan, walaupun mendapat tentangan hebat dari pembangkang.
" Kerajaan BN membuktikan ia adalah kerajaan yang benar-benar berkesan dalam membawa perubahan kepada rakyat Sarawak.
"Sebab itu tiap-tiap kali pilihan raya di Sarawak kerajan BN mendapat kejayaan yang besar... saya diberitahu mereka dijangka memenangi semua 71 kerusi... mereka yakin," katanya.
Effendi yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, sebagai contoh, kawasan Dalat yang diwakilinya dahulu telah banyak berubah, daripada kawasan yang mundur menjadi kawasan yang maju dan moden sekarang.
"Kalau saudara pergi ke Dalat masa saya mula-mula pergi Dalat 15 tahun dahulu, kawasan itu tak ada jalan raya, banyak tak ada bekalan air, tak ada sekolah tapi sekarang dia macam satu kawasan yang baru dan moden... cukup dengan hospital, cukup dengan sekolah-sekolah baru dan jalan raya.
"Jadi rakyat sendiri telah menikmati kemudahan-kemudahan asas yang telah disediakan, pembangunan dan pertumbuhan ekonomi," katanya.
Beliau berkata, rakyat Sarawak telah melihat dan menikmati sendiri pembangunan yang dibawa oleh kerajaan BN selama ini.
Effendi juga berkata, kerajaan BN telah berjaya mengurangkan kadar kemiskinan di negeri Sarawak yang pernah mencatatkan 32 peratus pada tahun 1985 kepada kurang daripada 6 peratus pada masa ini.

