Malaysiakini
BERITA

Saya produk berjaya PPSMI, kata Syed Saddiq

Geraldine Tong

Diterbitkan

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan bahawa dirinya adalah hasil produk yang berjaya dalam program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

"Ini pendapat peribadi saya, dan saya telah berkongsi ini dengan perdana menteri, saya bersetuju dengan perdana menteri.

"Saya adalah salah seorang anak muda yang melalui PPSMI dan pada masa yang sama, saya berjaya dididik melalui PPSMI sehingga kini saya berjaya.

"Saya katakan PPSMI telah banyak membantu saya dan generasi saya, oleh itu saya menyokongnya," katanya dalam satu sidang akhbar selepas menghadiri program Sekolah Pemimpin Malaysia di Kuala Lumpur hari ini.

Syed Saddiq berkata penguasaan bahasa Inggerisnya agak lemah pada masa itu, tetapi dia menggunakan kemahiran yang dipelajari daripada PPSMI sehinggalah ke universiti.

Ketua Pemuda Bersatu itu mengakui bahawa isu itu adalah topik kontroversi, tetapi menekankan bahawa beliau percaya Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad ikhlas mahu meningkatkan pendidikan belia.

"Beliau (Mahathir) ikhlas ingin memastikan para belia, khususnya di kawasan luar bandar, dapat memperoleh pendidikan terbaik, pendedahan yang terbaik agar mereka dapat bersaing dengan yang lain ketika mereka masuk universiti atau tenaga kerja di masa depan," katanya.

Bagaimanapun, tambah Syed Saddiq, perkara itu akan dibincangkan dalam kabinet sebelum sebarang keputusan dibuat.

Mahathir, yang merupakan pemangku menteri pendidikan, sebelum ini berkata beliau mahu mengembalikan semula pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.

Ramai pengkritik menyatakan bantahan tentang perkara itu, menggambarkan PPSMI sebagai langkah ke belakang dan tidak berkesan dalam meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris.

Pengkritik dasar ini termasuklah beberapa pemimpin Pakatan Harapan, yang kebanyakannya merupakan sebahagian yang membantah PPSMI pada 2008.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.