Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Beli Merc: Pemuda PAS digesa buktikan wujud peruntukan undang-undang Kelantan

Pemuda PAS digesa menunjukkan bukti bahawa terdapatnya peruntukan dalam undang-undang tubuh negeri Kelantan yang menetapkan keperluan untuk menukar kenderaan rasmi setiap 10 tahun.

Pengarah Undang-Undang PH Kelantan, Hisham Fauzi berkata, pihaknya mempertikaikan alasan dikemukakan Ketua Pemuda PAS, Khairil Nizam Khirudin dalam isu pembelian 14 buah Mercedes Benz oleh kerajaan Kelantan, baru-baru ini.

"Saya mempertikaikan dakwaan ketua Pemuda PAS yang mengatakan dalam undang-undang tubuh kerajaan negeri menetapkan setiap 10 tahun kenderaan rasmi kerajaan negeri termasuk untuk menteri besar perlu ditukar baru dan hanya kereta jenama Mercedes Benz ditetapkan untuk kegunaan.

"Saya harap beliau boleh memberi pencerahan lanjut dan membawa bukti terdapatnya peruntukan perundangan sebegitu.

"Jika sebelum ini beliau begitu lantang mengkritik cadangan menukar kereta rasmi kerajaan pusat dari Proton kepada Toyota, secepat kilat beliau menukar pendirian bila melibatkan pimpinan parti mereka sendiri," katanya kepada Malaysiakini, di Kota Bharu, hari ini.

Semalam Malaysiakini melaporkan Khairil Nizammempertahankan langkah dilakukan kerajaan Kelantan untuk membeli kenderaan mewah Mercedez Benz.

Khairil berkata, pembelian kereta bagi kegunaan rasmi pimpinan negeri itu merupakan satu keperluan selepas 10 tahun kenderaan sedia ada digunakan.

Jelasnya, seperti yang diselaraskan dalam undang-undang tubuh kerajaan negeri menetapkan setiap 10 tahun kenderaan rasmi kerajaan negeri termasuk untuk menteri besar perlu ditukar baru dan hanya kereta jenama Mercedes Benz ditetapkan untuk kegunaan.

Sementara itu Hisham berkata, ketika timbul cadangan penukaran kenderaan rasmi oleh kerajaan pusat, Khairil Nizam bertindak mengkritik dan menyindir dengan mengatakan mempersoalkan kenapa tidak dibaiki saja kereta sedia ada kerana kerajaan pusat tidak ada duit.

"Inilah bukti sikap flip-flop pemimpin PAS. Bila melibatkan orang lain akan segera menjadi haram, tetapi jika melibatkan mereka, maka segala dalil dan hujah menghalalkan tindakan mereka akan keluar seperti air mengalir.

"Sebab itu saya suka nasihatkan mereka agar berhati-hatilah dalam berhukum selepas ini. Jangan terlalu melulu," katanya.

Lihat Komen
ADS