Malaysia catat skor terbaik dalam Indeks Demokrasi
Malaysia mencatatkan skor dan kedudukan terbaik setakat ini pada Indeks Demokrasi, iaitu berada di tangga ke-43 daripada sejumlah 167 negara.
Laporan Indeks Demokrasi 2019, yang dikeluarkan oleh Unit Perisikan Ekonomi (EIU), menilaikan Malaysia pada skor atau markah 7.16 daripada jumlah maksimum 10.
Malaysia mendapat markah antara 5.98 dan 6.88 sejak indeks itu dimulakan pada tahun 2006. Ia berada di tangga ke-52 tahun lalu dengan skor 6.88.
Laporan itu menyebut bahawa Malaysia mencatakan peningkatan di sebalik kemerosotan kembali oleh rakan serantaunya.
"Sebaliknya, Malaysia, yang membatalkan undang-undang 'berita palsu' pada Ogos 2018 (selepas meluluskannya pada bulan Mac tahun itu) mencatatkan peningkatan dalam demokrasi pada tahun 2019.

"Skornya bertambah baik dan negara naik sembilan tangga di peringkat global dengan peluang berkempen untuk semua pihak, termasuk pembangkang, bertambah baik, terutama di media sosial," kata laporan itu.
Indeks Demokrasi bertujuan mengukur keadaan demokrasi di dunia. Ia mengukur lima bidang, iaitu proses pemilihan dan pluralisme, fungsi kerajaan, penyertaan dalam politik, budaya politik dan kebebasan sivil.
Malaysia diletakkan dalam kategori demokrasi pincang dalam laporan itu tetapi markahnya meningkat tahun lalu.
Pencapaian Malaysia dalam kedudukan itu disumbang menerusi peningkatan ketara skornya dalam proses pemilihan dan pluralisme iaitu 9.17, naik berbanding skor 7.75 yang dinilai tahun sebelumnya.
Bagi fungsi kerajaan, skor dinilai adalah 7.86, sementara penyertaan dalam politik (6.67), budaya politik (6.25) dan 5.88 bagi kebebasan sivil.
Negara yang mempunyai skor lebih tinggi daripada lapan diletakkan dalam kategori demokrasi penuh, sementara skor enam hingga lapan diletakkan dalam kategori demokrasi pincang.
Skor antara empat hingga enam diletakkan dalam ketegori rejim campuran, sementara skor di bawah empat akan dimasukkan dalam kategori rejim autoritarian.
Bagi kategori Asia dan Australasia, lima negara teratas adalah New Zealand (demokrasi penuh); diikuti Australia (demokrasi penuh) serta Korea Selatan, Jepun dan Taiwan, masing-masing diletakkan dalam kategori demokrasi pincang.
Lima negara terbawah bagi kategori itu adalah Korea Utara, Laos, China, Afghanistan serta Vietnam.
Sementara, lima negara teratas bagi kategori keseluruhan adalah Norway, diikuti Iceland, Sweden, New Zealand dan Finland.

