Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib tidak tahu jika jaminan RM4 bilion SRC dibentang di Parlimen
Diterbitkan:  Feb 3, 2020 6:16 PM
Dikemaskini: 10:38 AM

KES SRC NAJIB l Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur bahawa beliau tidak tahu sama ada kelulusan Kabinet untuk jaminan kerajaan bagi pinjaman RM4 bilion kepada SRC International Sdn Bhd daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) pernah dibentangkan di Dewan Rakyat.

Beliau berkata sama ada ia dibentang di Parlimen atau tidak merupakan tugas functionary (pegawai yang terlibat dalam pentadbiran awam atau kerajaan).

“Kami tidak ada pengesahan sama ada jaminan kerajaan itu dibentangkan di Parlimen. Ia adalah tugas functionary.. Ia adalah tindakan pentadbiran,” katanya semasa pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya ad-hoc Datuk V. Sithambaram.

Sithambaram kemudian merujuk kepada Seksyen 2 (3) Akta Jamina Pinjaman (Pertubuhan Perbadanan) yang menyebut bahawa kementerian hendaklah dengan seberapa segera membentangkan di Dewan Rakyat kenyataan jaminan bersama-sama satu salinan perjanjiannya.

Sithambaram: Saya katakan kepada anda bahawa jaminan kerajaan ini tidak pernah dibentangkan di Dewan Rakyat?

Najib: Saya tidak tahu.

Sithambaram: Adakah anda tahu tujuan membentangkannya di Dewan Rakyat adalah untuk semua (Ahli Parlimen) mengetahuinya?

Najib: Ya untuk ketelusan.

Najib juga mengakui tidak ada Parlimen Hansard untuk mengesahkan perkara itu pernah dibentangkan di Parlimen dan tidak bersetuju dengan Sithambaram bahawa ia adalah tugas menteri, seperti yang termaktub dalam undang-undang, untuk membentangkan apa-apa jaminan kerajaan di Parlimen.

Pihak pendakwaan mengambil masa 12 hari menyoal Najib dan hari ini pendakwaan menamatkan pemeriksaan balas ke atas bekas menteri kewangan itu.

Peguam Farhan Read yang mewakili pihak pembelaan kemudian melakukan pemeriksaan semula ke atas Najib.

Najib membela diri terhadap tujuh pertuduhan menyeleweng RM42 juta dana SRC International membabitkan tiga tuduhan pecah amanah (CBT), tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kedudukan berkaitan dana SRC.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung.

- Bernama

Lihat Komen
ADS