Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tuduhan melulu Lokman pada Zahid salah - Penerangan Umno
Diterbitkan:  Feb 3, 2020 11:08 PM
Dikemaskini: 3:55 PM

Anggota majlis tertinggi Umno, Lokman Adam didakwa bertindak melulu membuat tuduhan salah terhadap presiden parti itu Ahmad Zahid Hamidi dan menjejaskan imej Umno.

Ketua Penerangan Umno Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Lokman yang tampil membidas presidennya sendiri yang didakwanya mahu bekerjasama dengan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad.

"Mendedahkan rahsia parti kepada umum adalah tindakan yang tidak bertanggungjawab. Justeru menghebahkan apa yang disebut oleh presiden Umno dalam mesyuarat tertutup sebagaimana yang dilakukan oleh Lokman Adam adalah tindakan yang salah. 

"Apatah lagi presiden Umno hanya memberikan gambaran awal serta ingin mendapat pandangan dari pelbagai pihak berhubung perkara membabitkan kepentingan parti.

"Belum ada sebarang keputusan atau tindakan yang dimutamadkan oleh parti mengenai perkara itu. Apakah itu satu kesalahan sehingga dianggap presiden Umno melakukan satu pengkhianatan?

"Tindakan memanipulasikan pelbagai isu, situasi serta membuat kenyataan terbuka dan melulu oleh Lokman Adam adalah suatu yang tidak profesional malah boleh merosakkan imej parti. Ini boleh menimbulkan kekeliruan di peringkat akar umbi yang sepatutnya dielakkan.," katanya dalam suatu kenyataan malam ini.

Lokman hari ini turut mempersoalkan tindakan Ahmad Zahid yang dikatakan mahu “tunduk” dan bekerjasama dengan Mahathir, sedangkan katanya, Mahathirlah yang mahu mengharamkan Umno dan membekukan akaun Umno.

“Jika ini sahaja yang mampu Zahid lakukan, maka sewajarnya beliau melepaskan jawatan beliau sebagai Presiden Umno.

“Lebih baik buat pemilihan semula sekarang supaya ahli ada hak untuk memilih pasukan yang mahu menentang Mahathir atau pasukan yang mahu berkerjasama dengan Mahathir,” kata anggota MT Umno itu.

Dalam kenyataannya hari ini, Lokman turut mengepil petikan rakaman audio sepanjang tiga minit 18 saat, yang didakwanya diucapkan Ahmad Zahid ketika muncul dalam mesyuarat Jawatankuasa Perhimpunan Muafakat Nasional Umno hari ini.

Antara lain, petikan audio itu menyatakan bahawa bersandarkan Muafakat Nasional, Umno perlu mengikut tindakan PAS "supaya tidak tertinggal di belakang", selain bagi menyelamatkan Umno daripada diharamkan.

Bagaimanapun, ketua penerangan Umno berkata "segala keputusan parti pasti akan melalui saluran yang betul dan tepat" serta tidak akan membelakangkan kepentingan parti."

"Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno pada 24 Julai 2019 membuat keputusan, hanya Presiden parti yang diberikan mandat untuk mewakili Umno jika terdapat mana-mana pihak daripada luar yang ingin mengadakan sebarang kerjasama dengan Umno.

"Kerana itu, sebarang perbincangan atau perundingan mesti mematuhi apa yang telah dimuktamadkan oleh Majlis Tertinggi Umno. Dan proses ini dilakukan oleh presiden Umno dengan penuh tanggungjawab.

"Dengan tegas dinyatakan disini bahawa, Umno tidak akan mengadakan sebarang kerjasama dengan mana-mana parti terutama parti-parti yang menganggotai Pakatan Harapan (PH) selagi mereka berkongsi kuasa politik dengan DAP," tegasnya.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Selangor, Rizam Ismail menggesa "Lokman Adam tidak lagi mengeluarkan sebarang kenyataan yang mendahului pemimpin parti."

"Kerana ianya boleh mendatangkan kerosakan dalaman parti yang lebih teruk daripada apa yang beliau telah lakukan hari ini.

"Saya percaya bahawa keputusan parti akhirnya akan memberi kebaikan bukan sahaja untuk ahli parti malah demi rakyat hari ini yang semakin hari semakin ditekan dengan kegagalan demi kegagalan yang dilakukan oleh Kerajaan Pakatan Harapan yang memerintah negara.

"Parti yang kuat dan kukuh adalah sebuah parti yang patuh kepada keputusan presiden sehingga pihak lain gagal memecah belahkan parti baik dari dalam ataupun di dalam parti," katanya dalam suatu kenyataan malam ini.

Lihat Komen
ADS