Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
‘Kebencian terpasak’: Salahuddin pesimis masa depan Umno-PAS
Diterbitkan:  Feb 5, 2020 6:20 PM
Dikemaskini: 10:23 AM

Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub menyuarakan rasa tidak percaya dengan hakikat bahawa parti PAS kini boleh berbaik dengan Umno.

Tambahnya, sepanjang pengalamannya menjadi ahli PAS terdahulu, rasa kebencian terhadap Umno sudah dipasakkan dalam “akidah” dan jiwa anggota parti itu.

Malah sehingga kini, jelas Saifuddin, Presiden PAS Abdul Hadi Awang tidak pernah menarik kembali amanatnya.

“Walaupun runtuh langit ini sebab saya tidak percaya PAS ini boleh baik dengan Umno.

“Sebab saya lama dengan PAS dulu dan itu yang dipasakkan dalam akidah dalam jiwa kami dan setakat ini (Abdul Hadi) tidak pernah menarik amanat itu,” katanya kepada Malaysiakini.

Salahuddin bersama Hadi dalam muktamar PAS 2014, ketika masih menjadi pemimpin parti itu 

Salahuddin pernah menjadi ahli PAS bermula tahun 1983 sehingga membuat keputusan untuk meninggalkan parti itu pada tahun 2015 dan beralih ke Amanah.

Beliau, ketika itu naib presiden PAS, keluar parti bersama hampir semua pemimpin kanan parti itu dan menyertai pasti Islam baru Amanah.

Amanah Abdul Hadi yang diperkatakan adalah petikan ucapannya semasa berceramah di Kampung Banggol, Peradong, Terengganu, pada 1981.

Petikan 'amanat' tersebut antara lain menyebut:

"Kita menentang Umno bukan kerana namanya. Kita menentang BN bukan kerana ia lama memerintah kerajaan. Kita menentang kerana ia mengekalkan perlembagaan penjajah, mengekalkan undang-undang kafir, mengekalkan peraturan jahiliyah.”

Amanat Hadi

Sementara itu, Salahuddin yang juga merupakan menteri pertanian dan industri asas tani menjelaskan bahawa pendirian ahli PAS sememangnya tidak boleh menerima parti Umno.

“Selagi Ustaz Hadi tidak tarik amanatnya, saya tak percaya selagi langit runtuh dan ini pendirian akidah dari ahli PAS yang sememangnya tidak boleh terima Umno.

“Adakah mereka (pimpinan PAS) hendak mengkhianati pejuang-pejuang PAS yang dulu dan ahli PAS yang telah meninggal dunia,” katanya.

Hadi dan Zahid - dua pemimpin utama Muafakat Nasional

Untuk rekod, Umno dan PAS menandatangani Piagam Muafakat Nasional pada Himpunan Penyatuan Ummah yang berlangsung pada 13 dan 14 September tahun lalu.

Detik bersejarah itu disaksikan lebih 2,000 perwakilan dan kira-kira 25,000 ahli serta penyokong kedua-dua parti yang membanjiri sekitar Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur.

Terdahulu, hubungan antara kedua-dua parti itu mula menjadi rapat selepas BN tewas dalam PRU ke-14 lalu.

Lihat Komen
ADS