Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lepas 'salah komunikasi', GPA mahu k'jaan lebih telus proses mansuh Auku

Aktivis mahasiswa menggesa orang ramai untuk mendesak kerajaan PH menunaikan janjinya untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Auku) tahun ini.

Wakil Gerakan Pembebasan akademik juga menggesa kerajaan agar lebih telus dalam rancangannya berhubung pemansuhan undang-undang kontroversi itu.

Diketuai pengerusinya Azura Nasron, kumpulan itu membuat gesaan itu dalam sidang media di Putrajaya tengah hari ini.

"Ada lebih 1.2 juta pelajar pendidikan tinggi di Malaysia dan saya menggesa semua pelajar menyokong kami dalam memansuhkan Auku.

"Kami tidak mahu kerajaan buat banyak pusingan-U. Banyak undang-undang yang belum dimansuh dan perkara yang belum dibaiki.

"Kami tidak mahu ini berlaku kepada isu Auku dan isu yang memberi kesan kepada pelajar," katanya.

GPA adalah antara kumpulan pelajar yang berada dalam jawatankuasa kerja Kementerian Pendidikan yang ditubuhkan untuk membincangkan soal pemansuhan Auku dan undang-undang baru untuk menggantikannya - dikenali sebagai Akta Pendidikan Tinggi - pada tahun ini.

Ditubuhkan pada Disember 2018, jawatankuasa tersebut bersama-sama satu lagi jawatankuasa teknikal telah mengadakan beberapa perbincangan berkenaan perkara itu.

Anggota GPA Wong Yan Ke berharap kerajaan akan sentiasa memberi maklumat terbaru kepada rakyat berkenaan perbincangan itu sebelum diputuskan Kabinet.

"Kami berharap orang awam juga dapat mendeak Kabinet untuk meluluskan kertas putih (untuk memansuhkan Auku). Undang-undang itu sudah lama dan menekan hak pelajar untuk banyak tahun," katanya lagi.

'Tiada lagi salah komunikasi'

Sidang media diadakan setelah pertemuan antara GPA dan pegawai Jabatan Pendidikan Tinggi di Kementerian Pendidikan, berhubung bagaimana sebahagian anggotanya disingkirkan daripada jawatankuasa kerja Auku.

Azura berkata, pegawai yang ditemui mengakui kesilapan tersebut dan telah memasukkan semula angggotanya dalam jawatankuasa itu.

"Kami harap tiada lagi salah komunikasi selepas ini," katanya lagi.

Beliau juga menggesa kementerian mengeluarkan surat pelantikan rasmi agar mereka mendapat tempat kekal dalam jawatankuasa itu.

Menurut Azura lagi, pegawai kementerian memberitahu mereka berkenaan rancangan "menyusun semula" jawatankuasa teknikal Auku dengan membuka ruang untuk mendapat pandangan lebih "inklusif".

Tapi katanya lagi, mereka memang sentiasa bersikap "inklusif" sambil menambah sikap itu ashaja tidak memadai jika matlamatnya hanya untuk mewujudkan "Auku 2.0".

Pada Disember 2018, Auku dipinda untuk membolehkan pelajar menyertai kegiatan anjuran parti politik dalam kampus.

Menteri pendidikan ketika itu, Dr Maszlee Malik berjanji undang-undang itu akan dimansuh dan diganti pada 2020.

Beliau meletakkan jawatan pada bulan lalu. Jawatan itu kini dipangku Dr Mahathir Mohamad.

Pada 1975, ketika Mahathir menjadi menteri pendidikan, Auku dipinda bagi mengharamkan pelajar institut pengajian tinggi mengambil bahagian dalam politik.

Lihat Komen
ADS