Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
NUJ mohon tuduhan pada 'Ibu Yati' digugurkan
Diterbitkan:  Feb 5, 2020 11:59 PM
Dikemaskini: 3:59 PM

Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) merayu kepada kerajaan agar menggugurkan dakwaan ke atas salah seorang exconya, Wan Noor Hayati Wan Alias.

Dalam kenyataan dikeluar NUJ malam ini, setiausaha agungnya, Chin Sung Chew, berkata Wan Noor Hayati mempunyai kebebasan bersuara bagi menyatakan kebimbangannya terhadap penularan wabak novel koronavirus (2019-nCoV).

“NUJ merayu kerajaan untuk menggugurkan dakwaan ke atas anggota exco merangkap timbalan bendahari agungnya atas mesej tidak disengajakan melalui akaun peribadi media sosialnya.

“Mengambil tindakan ke atas wartawan atau media dalam negara demokrasi seperti Malaysia kerana menyatakan pendapat akan dilihat langkah ke belakang di mata orang ramai, selain masyarakat antarabangsa," katanya.

Pada masa sama, Chin berkata, NUJ tidak ada halangan jika pihak berkuasa mahu menjalankan siasatan bagi mengekang penularan berita tidak benar.

Bagaimanapun katanya para wartawan tetap terikat dengan peraturan etika kewartawanan dan kedaulatan undang-undang.

Pagi tadi Wan Noor Hayati didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur kerana mengeluarkan kenyataan berhubung penularan wabak 2019-nCov yang boleh menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam.

Ramai pakar separuh masak

Dia membuat kenyataannya di Facebook menggunakan akaun peribadi dikenali sebagai “Ibu Yati”.

Mengikut pertuduhan tersebut, Wan Noor Hayati Wan Alias, 40, membuat tiga pertuduhan menyebar berita palsu pada jam 10 malam, 26 Jan lalu. 

Dia mengaku tidak bersalah atas tiga tuduhan yang dikenakan mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan iaitu membabitkan kesalahan membuat kenyataan dengan niat mahu menyebabkan kegentaran awam.

Jika sabit kesalahan dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Sebelum ini Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador, menasihati "pakar separuh masak" di media sosial agar berhenti daripada menjadi ejen menakut-nakutkan orang ramai.

Kata Abdul Hamid golongan terbabit giat mengeluarkan pendapat yang dikutip dari tempat lain dan ia tidak disahkan.

"Ramai sangat doktor pakar dalam masyarakat kita ni... pakar yang separuh masak, yang keluarkan pendapat yang dia pick up (petik) di tempat lain yang tidak tahu asal-usulnya.

"Kemudian dia sebarkan sehingga menakutkan orang lain," katanya.

Kerajaan juga menegaskan bahawa hak orang awam bersuara atau memberikan pendapat tetap dijamin namun ia tidak termasuk dalam perbuatan menyebarkan berita palsu atau tidak benar.

Menurut Chin, NUJ berpendapat sebagai wartawan Wan Noor Hayati berhak menyatakan kebimbangannya kepada orang ramai kerana kegelisahan sangat dirasakan dan kebanyakannya tidak dimaklumkan oleh kerajaan mengenai keadaan wabak 2019-nCoV," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS