Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hakim arah Najib keluar mahkamah bicara kes rasuah Rosmah
Diterbitkan:  Feb 6, 2020 11:41 AM
Dikemaskini: 3:43 AM

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari mengarahkan Najib Razak meninggalkan mahkamah ketika mengikuti perbicaraan kes rasuah yang dihadapi isterinya, Rosmah Mansor, berhubung projek tenaga solar 369 sekolah luar bandar di Sarawak, hari ini.

Sejurus Najib duduk, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib, memaklumkan kepada mahkamah mengenai kehadiran bekas perdana menteri itu dan menimbulkan bantahannya terhadap kehadiran Najib di galeri awam.

"Dalam kes ini, kenyataan Najib direkodkan, beliau adalah saksi yang berpotensi," kata Akram memberitahu mahkamah.

Peguam Rosmah, Akberdin Abdul Kader kemudian tampil mencelah dan berkata Najib juga hadir di mahkamah semasa perbicaraan hari pertama Rosmah semalam.

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan kemudian memaklumkan beliau tidak menyedarinya semalam dan kemudian memerintahkan Najib keluar.

Susulan itu, beliau meminta Najib keluar daripada dewan mahkamah.

“Saya minta maaf tetapi saya perlu meminta kamu (Najib) untuk mengundurkan diri anda (dari mahkamah)," kata Zaini.

Najib kemudian dengan tenang menjawab "okay" dan terus bangun dan meninggalkan mahkamah.

Rosmah, 68, berdepan pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin, menerusi bekas pembantu Rosmah iaitu Rizal Mansor bagi projek membekalkan tenaga solar kepada 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di tiga tempat iaitu Lygon Cafe, Sunway Putra Mall di Jalan Putra, di kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta dan di Seri Perdana Residence, Persiaran Seri Perdana, Precinct 10, Putrajaya antara Januari 2016 dan 7 Sept 2017.

Isteri bekas perdana menteri itu walau bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan.

Lihat Komen
ADS