Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
KKM sahkan kes koronavirus terbaru dikesan di JB
Diterbitkan:  Feb 7, 2020 4:15 PM
Dikemaskini: 10:44 AM

Kementerian Kesihatan Malaysia mengesahkan kes koronavirus terbaru yang terjadi dalam negara, iaitu yang ke-15.

Pada sidang media di Putrajaya hari ini, Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata pesakit itu adalah seorang pelancong wanita warganegara China berumur 59 tahun dari Wuhan.

Menurut Dzulkefly, wanita berkenaan, bersama-sama dengan suami, anak lelaki dan menantunya telah tiba di Singapura pada 17 Januari 2020, sebelum ke Johor Bahru pada 21 Januari 2020.

"Beliau dijadualkan pulang ke China pada 4 Februari 2020 dengan menaiki penerbangan dari Johor Bahru ke Guangzhou, tetapi telah menangguhkannya kerana kurang sihat. Namun, anak lelaki dan menantunya telah pulang ke China pada tarikh tersebut.

"[...] Ujian pengesanan dan pengesahan 2019-nCoV yang dijalankan ke atasnya telah dilaporkan positif pada 6 Februari 2020. Beliau kini telah dimasukkan ke wad isolasi di Hospital Permai, Johor Bahru dan berada dalam keadaan stabil," kata Duzlkefly.

Pada masa ini, 15 kes jangkitan koronavirus yang disahkan melibatkan enam yang menghidap penyakit itu melalui kontak rapat, dua kes melibatkan rakyat Malaysia yang dibawa pulang dari China pada Selasa lalu dan tujuh kes melibatkan mereka yang dikategorikan sebagai pesakit di bawah pemantauan ( PUI).

Terdapat 313 orang yang dikategorikan sebagai PUI sejak 10 Januari lalu, dengan 297 daripadanya negatif dan sembilan masih di bawah pemerhatian.

Dzulkefly mengingatkan agar orang ramai menghadkan lawatan ke hospital terutamanya bagi urusan tidak penting.

Jelasnya, jika masih perlu hadir ke hospital, orang ramai terutamanya kanak-kanak, warga emas berusia 65 tahun ke atas, pesakit dengan penyakit kronik, pesakit dengan daya ketahanan badan yang rendah dan wanita hamil, dinasihatkan untuk mengamalkan penjagaan kesihatan diri.

"Elakkan daripada menyentuh mata, hidung dan mulut tanpa membasuh tangan terlebih dahulu.

"Basuh tangan dengan kerap menggunakan air dan sabun sekurang kurangnya untuk tempoh selama 20 saat atau gunakan hand sanitiser;

"Elakkan daripada mendekati mereka yang mempunyai gejala jangkitan saluran pernafasan seperti batuk atau selsema;

"Mengamalkan cough etiquette (etika batuk) – iaitu menutup mulut dan hidung dengan tisu apabila batuk mahupun bersin, seterusnya membasuh tangan dengan serta merta;

"Jika mempunyai gejala jangkitan saluran pernafasan, sila pakai penutup hidung dan mulut serta kekalkan jarak yang selamat (iaitu sekurangkurangnya 1 meter) daripada orang lain di persekitaran," katanya.

Lihat Komen
ADS