Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Semalam disiarkan bahagian pertama rakaman majlis dialog Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad dengan sekumpulan profesional Melayu yang berlangsung pada November lepas.

Berikut bahagian terakhirnya yang merangkumi soal jawab dalam majlis tersebut.

Soalan: Pelbagai perkara sedang melanda Proton sekarang, bagaimana perasaan Tun?

Dr. M: CEO MAS telah bersara tetapi kes Proton ini unik. Mereka menyingkir orang-orang yang berjaya. Sekarang saya mula bertanya adakah Tengku Mahaleel (bekas CEO Proton) bercakap benar atau tidak. Dia memberitahu saya Proton membuat banyak keuntungan, mempunyai rezab berbilion Dollar hingga mampu membina kilang di Tanjung Malim tanpa meminjam dari kerajaan atau bank. Proton menggunakan dana dalaman. Tapi sekarang saya mula bertanya pada diri saya samada dia bercakap benar atau tidak, sebab sekarang Proton kerugian.

Macam mana boleh rugi? Adakah kerana menjual kereta di bawah kos atau kos operasi telah meningkat? Saya tidak tahu apa sebabnya tetapi apabila sebuah syarikat yang mempunyai wang tunai yang banyak tiba-tiba mengalami, ia adalah suatu yang memeranjatkan. Kini Proton dikatakan mengalami kerugian dan salah satu sebabnya kerana ia membeli Augusta, syarikat pembuat motosikal Itali.

Saya cuba membayangkan bagaimana kita kerugian apabila kita membeli sesuatu pada harga yang rendah. Selalunya kita hanya kerugian apabila membeli sesuatu pada harga yang tinggi dan pembelian itu tidak mendatangkan pulangan yang baik. Kita perlu ingat apabila kita membeli sebuah syarikat yang mempunyai hutang, maka hutangnya akan menjadi tanggungan kita dan dimasukkan ke dalam akaun. Kerana syarikat yang dibeli itu mempunyai hutang, maka harga beliannya sangat murah. Siapa mahu mebeli syarikat yang bermasalah jika harganya tinggi? Hanya syarikat yang berjaya boleh meminta harga tinggi.

Jadi sekarang ini saya sedang memikirkan bagaimana selepas pengurusan baru mengambilalih Proton, tiba-tiba Proton mengalami kerugian. Saya tegaskan selepas diambil oleh pengurusan baru, bukan diambilalih oleh CEO baru. Adakah kerana pengurusan barunya tidak cekap hingga menyebabkannya kerugian? Saya tidak fikir mereka tidak berkemampuan kerana semua mereka adalah orang-orang yang berkelayakan tinggi. Ada satu misteri di sini. Kita perlu mencungkil misteri ini hingga ke dasarnya bagi mencari jawapan mengapa sebuah syarikat yang begitu berjaya tiba-tiba mengalami kerugian selepas CEOnya disingkirkan.

Ya... saya adalah penasihat Proton tetapi nasihat saya tidak diminta sebelum sesuatu keputusan dibuat...saya hanya diberitahu mengenai sesuatu perkara selepas keputusan dibuat. Saya bukannya seperti penasihat British, tetapi seorang penasihat Melayu yang nasihatnya hanya diminta selepas sesuatu keputusan dibuat.

Apa yang berlaku ini adalah suatu yang amat malang bagi Prototn kerana kewujudan Proton bukan hanya untuk membuat keuntungan tetapi untuk menguasai teknologi. Saya percaya ilmu teknologi yang telah dikuasai Proton setakat ini amat banyak dan menakjubkan.

Dalam masa 15 tahun, daripada sebuah negara yang tidak mempunyai apa-apa kemahiran kejuruteraan, yang industri automotifnya hanya sekadar memasang skrew dan bahagian yang dibekalkan oleh orang lain, sekarang kita kita mampu mereka bentuk, menguji dan mengeluarkan kereta yang diiktirafkan sebagai sangat baik oleh 'Car' sebuah majalah automotif British.

Dengan adanya pengurusan baru ini kita akan mendengar lebih banyak berita buruk. Sebagaimana yang saya katakan dulu, apabila satu berita buruk keluar, lebih banyak berita buruk akan menyusul kerana pengurusan baru mahu membuktikan pengurusan lama melakukan banyak kesilapan dan mereka akan kelihatan betul.

Soalan:Bagaimana Tun menilai kemajuan negara ke arah Wawasan 2020?

Dr. M: Saya percaya pada dua perkara, pertama kita kena tahu dari mana asal kita. Untuk maju kita mesti tahu di mana kedudukan kita, jika tidak kita akan tersilap, kita akan menyangka kita semakin maju sedangkan sebenarnya kita semakin ketinggalan. Kita kena belajar sejarah kita . Orang muda kena tahu sejarah negara ini, kena tahu asal usul dan kedudukan kita.

Selama 450 tahun kita dijajah. Kita hanya merdeka sejak 1957. Kita telah saksikan kemajuan negara ini semasa dijajah dan selepas merdeka dan jika kita tidak mahu dijajah lagi kita kena berdikari dan mengukuhkan diri sendiri. Kita telah mencapai kemajuan yang besar sejak merdeka dan mesti terus membangun.

Kita telah berjaya melahirkan ramai profesional, peguam, jurutera dan doktor. Kita meletakkan harapan tinggi pada mereka. Bagaimanapun ilmu sahaja tidak mencukupi untuk memajukan diri sendiri dan negara. Memiliki sistem nilai yang baik sama penting atau lebih penting dari ilmu berkenaan. Jika kita tidak memiliki sistem nilai yang baik, ilmu yang dimiliki mungkin tidak dapat membantu kita. Kita mungkin akan menyalahgunakan ilmu itu. Bagi masyarakat Melayu, keadaan ini amat membimbangkan.

Saya akui, sehingga saya bersara, saya gagal mengubah pemikiran orang Melayu. Saya masih berpendapat, mengubah pemikiran orang Melayu suatu yang amat penting. Hari ini jika anda membaca akhbar New Straits Times, antara pengidap HIV/Aids di Pahang, 86 peratus daripadanya adalah orang Melayu, 5 peratus China dan 7 peratus India.

Kita kena tanya diri sendiri, mengapa Melayu? Mengapa mereka terbabit dalam gejala ini, mengidap HIV/Aids? Ada orang beritahu saya kerana mereka mengambil dadah. Kalau benar, mengapa mereka menagih dadah? Mengapa orang Cina tidak hisap dadah? Mengapa orang India tidak menagih dadah? Mereka jawab lagi, kerana orang Melayu mempunyai banyak masa terluang, tak ada apa nak buat. Adakah ini alasan yang baik? Bagi saya, tidak....

Jadi kita perlu melahirkan bukan sahaja seorang yang berpengetahuan tetapi seorang yang mempunyai daya tahan untuk menolak pengaruh buruk yang ada di sekelilingnya. Ini memerlukan disiplin yang tinggi. Sistem pendidikan Malaysia sekarang tidak menekankan aspek pembinaan sikap.

Betul.... kita mempunyai guru agama yang mengajar kita apa yang baik dan buruk tetapi ada juga yang mengajar warna hijau lebih baik dari warna biru. Saya pelik mengapa ada guru lukisan yang melukis bulatan dengan mewarnakan luarannya warna hijau dan tengahnya putih.

Ini menunjukkan ada orang menggunakan warna bagi menerap nilai-nilai yang tidak baik. Mereka ini tidak mengajar nilai-nilai yang kepada anak-anak kita. Jadi kalau kita tidak mempunyai sikap yang betul, walaupun kita seorang jurutera, kita tidak akan berjaya. Untuk berjaya kita mesti mempunyai kemahuan untuk berkerja keras.

Adakah anda tahu di Jepun, pada pukul 8 malam atau 9 malam, lampu masih terang benderang di tempat kerja. Tetapi di sini pukul 4 petang, kita semua sudah balik, main golf atau melakukan perkara lain yang kita rasakan lebih penting.

Soalan: Pada pandangan Tun, ke manakah hala tuju negara ini sekarang?

Dr. M: Kita ada hala tuju, maksud saya kita ada Islam Hadhari, kita mahu menjadi negara pertanian. Itulah hala tujunya tetapi saya rasa kita tidak begitu maju dalam bidang pertanian kecuali dalam penanaman kelapa sawit. Saya rasa Thailand jauh di hadapan kita dalam bidang ini. Mereka menghasilkan buah-buahan yang lebih baik, kecuali durian D24..... yang lain kita kalah pada mereka.

Jadi saya rasa kita sepatutnya menumpu pada bidang berasaskan teknologi tinggi dan kemahiran, tetapi kerajaan sekarang mahu fokus pada pertanian.

Mungkin selepas ini kita terpaksa mengeksport beberapa tan sayur-sayuran untuk menampung kemasukan percuma sebuah kereta Jepun ke negara ini. Mungkin itulah hala tuju kita sekarang. Saya tidak boleh kata saya tidak bersetuju dengan dasar itu kerana saya telah mebuta keputusan tidak akan campurtangan dalam urusan kerajaan sekarang. Sebenarnya saya masih tercari-cari arah tujuan kita....saya akan beritahu anda apabila telah menemuinya nanti.

Soalan: Apa pendapat Tun tentang Puteri Umno sekarang? Bagaimana agaknya Malaysia 50 tahun lagi?

Dr. M: Saya menerima banyak bantahan bila hendak menubuhkan Puteri Umno dulu. Saya mengharapkan Puteri Umno dapat memberi sumbangan yang baik. Setakat ini saya rasa mereka telah berjaya. Mereka aktif, melakukan banyak kerja yang baik dan tidak berebu-rebut untuk mencari peluang pekerjaan atau menjadi calon. .

Kemunculan Puteri Umno telah membimbangkan parti pembangkang sebab mereka tahu orang-orang muda ini mempunyai pengaruh yang besar. Saya tidak tahu samada saya patut sebut ini atau tidak, tetapi Wanita Umno saya rasa semakin tua, sudah beku dan tidak boleh dibentuk lagi. Akibatnya orang muda tidak mahu lagi menyertai orang-orang yang dimamah usia ini. Kerana itu saya kami memutuskan menubuhkan Puteri. Walaupun pada awalnya banyak bantahan tapi saya rasa keputusan itu adalah tepat. Puteri Umno telah membawa nafas baru kepada parti.

Saya rasa seorang pemimpin mesti tahu bila untuk berundur dan memberi peluang kepada orang muda memegang teraju. Macam saya dulu...saya mahu berundur tetapi ramai yang menghalang dan bertanya pelbagai soalan. Jadi saya rasa Puteri Umno mesti selalu ingat jangan biarkan diri menjadi beku dan keras hingga tidak boleh dibentuk atau diubah lagi.

Mengenai Malaysia 50 tahun akan datang, kita perlu positif. Jika kita mempunyai pemimpin yang baik saya rasa negara ini boleh kekal sebagai negara membangun yang paling baik. Sekarang ini Malaysia dianggap sebagai negara model bagi negara-negara membangun, sebuah negara berasaskan pertanian yang telah bertukar menjadi sebuah negara perindustrian.

Malaysia telah menunjuk jalan kepada negara-negara lain bagaimana untuk maju. Kalau kita mahi keadaan ini berterusan, kita mesti mencari pemimpin yang sanggup menjadi tidak popular di kalangan kumpulan tertentu.

Saya tidak percaya pada populariti termasuk di kalangan orang Melayu. Anda tidak tahu berapa kali saya mengkritik orang Melayu. Melayu mudah lupa. Saya lakukan ini kerana ia perlu dilakukan. Jika kita buat sesuatu kerana mahu popular, kita akan melakukan kesilapan. Jadi saya rasa dalam tempoh 50 tahun lagi, dengan adanya pemimpin yang baik,saya yakin kita akan kekal sebagai salah sebuah negara membangun yang paling berjaya.

Soalan: Apa pendapat Tun tentang cadangan menyerapkan pembangkang ke dalam kerajaan sebagai langkah 'check and balance'?

Dr. M: Kita mempunyai pembangkang yang amat kecil. Kalau kita serap mereka dalam kerajaan, kita akan kehilangan semua pembangkang. Saya tidak setuju dengan konsep negara satu parti . Walaupun saya tidak nampak peranan besar pembangkang pada era saya namun saya tetap rasakan mereka perlu wujud.

Pembangkang perlu ada kerana mereka akan menegur jika kita membuat kesalahan atau perlu mengkaji secara mendalam sesuatu keputusan. Jika tiada pembangkang, kita akan menyangka segala yang kita buat adalah betul sedangkan ia mungkin satu kesilapan besar.

Saya percaya kita perlukan pembangkang kerana itulah salah satu daripada intipati demokrasi.

Soalan: Pembangkang mahu menjadikan Anwar Ibrahim pemimpin utama mereka. Anwar pernah berkata dia tidak akan menyertai semula Umno tetapi sebagai orang politik, saya yakin dia bersikap terbuka. Malah ada laporan mengatakan Umno mungkin membuka pintu untuk Anwar. Kalau itu berlaku apa akan jadi pada PAS dan Keadilan?

Dr. M: Akhirnya nama Anwar muncul juga...

Anda tahukan Anwar mampu melakukan sesuatu yang tidak diduga. Umpamanya ketika dia meyertai Umno....sebenarnya saya dan orang lain menyangka dia akan menyertai PAS, tetapi dia masuk Umno. Memeranjatkan...

Dia berjaya menyakinkan Abim bahawa menyertai Umno adalah suatu yang baik. Jadi tidak mengejutkan kalau dia mahu menyertai Umno semula nanti. Dia mungkin melakukannya menerusi orang-orang yang masih bersimpati dengannya dan percaya segala tuduhan terhadapnya selama ini adalah satu konspirasi yang dirancang oleh Perdana Menteri ketika itu.

Saya rasa Anwar perlu ikut jejak saya...sedar dan terima hakikat bahawa masa untuk kita sudah berlalu. Saya rasa Umno yang ada sekarang akan menolaknya jika dia cuba menyertai semula Umno. Pada masa depan kita tidak tahu kerana generasi baru mungkin lain cara berfikirnya. Lihat saja di barat dan negara-negara maju, homoseksual tidak lagi dianggap suatu yang salah.

Mungkin ada peluang untuknya kembali menyertai Umno satu masa nanti tetapi pada ketika itu dia sudah agak tua dan generasi muda mungkin akan menolaknya. Pada pendapat saya peluangnya amat tipis. Oleh itu PAS dialu-alukan untuk menerima Anwar, saya rasa ia baik untuk PAS. Bahagian pertama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS