Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Lim: Jangan sebar berita palsu 'Pakatan Nasional'

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menasihati pihak media supaya jangan menyiarkan berita palsu berkenaan isu Pakatan Nasional yang membabitkan Bersatu, PAS dan Umno.

Jelasnya, tumpuan seharusnya diberikan bagi menangani cabaran ekonomi khususnya isu penularan wabak koronavirus baru (2019-nCoV).

“Saya harap jangan siarkan berita palsu, mereka (media) boleh anti Pakatan Harapan dan anti kerajaan persekutuan tetapi jangan siarkan berita palsu.

“Kita beri tumpuan dengan cabaran ekonomi khususnya isu wabak koronavirus biar kita satu padukan rakyat,” katanya ketika ditemui pemberita pada sidang media di ibu pejabat kementeriannya di Putrajaya hari ini.

Spekulasi mengenai kerajaan campuran membabitkan Bersatu, Umno dan PAS tercetus sejak 3 Feb lalu apabila Anggota Majis Tertinggi Umno, Lokman Noor Adam mendedahkan mengenainya.

Lokman tampil membidas presidennya sendiri, Ahmad Zahid Hamidi yang didakwanya mahu bekerjasama dengan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad.

Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan pula berkata 'lamaran' terhadap Umno perlu dibawa ke meja perbincangan terlebih dahulu.

Beliau berkata, beberapa perkara perlu dipertimbangkan, antaranya tujuan kerjasama itu sama ada ikhlas atau strategik untuk kepentingan bangsa, agama dan parti atau sebaliknya.

Sebelum ini, bekas naib presiden Umno, Hishammuddin Hussein dikaitkan dengan gerakan untuk membentuk kerajaan melalui pintu belakang.

Bagaimanapun anggota Parlimen Sembrong itu menafikannya dan Umno turut membuat ketetapan sebarang rundingan hanyalah melalui presiden parti itu.

Sementara itu, Lim yang juga merupakan Anggota Parlimen Bagan yakin bahawa tiada sebarang usaha dibuat oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bagi mewujudkan Pakatan Nasional.

“Saya yakin bahawa tiada sebarang usaha untuk buat perkara ini (Pakatan Nasional).

“Kita jumpa dia (Dr Mahathir) kerap kali dan biar kita bagi tumpuan pada ekonomi,” katanya.

Terbaru PAS menjelaskan bahawa pihaknya bersetuju secara dasar dengan pembentukan Pakatan Nasional sebagai gagasan baru kerajaan namun harus mengikuti lunas demokrasi.

Presidennya, Abdul Hadi Awang bagaimanapun berkata masih terlalu awal untuk mengulas isu berkenaan dan sebaliknya ketika ini PAS dan Umno memberi fokus kepada Muafakat Nasional. 

Lihat Komen
ADS