Najib bertegas rakyat bayar lebih banyak di bawah skim tol PH
Bekas perdana menteri Najib Razak tetap bertegas bahawa rakyat Malaysia akan membayar lebih banyak di bawah skim tol baru kerajaan Pakatan Harapan untuk lebuh raya di bawah Plus Expressways.
Najib sebelum ini berhujah bahawa seseorang yang sebelum ini membelanjakan RM400 setahun untuk tol akan membayar RM7,200 seumur hidup di bawah skim lama tetapi kini akan membayar RM12,464 di bawah skim baru.
Beliau berhujah bahawa ini adalah kerana skim baru melanjutkan tempoh konsesi dari 2038 kepada 2058 walaupun memberikan diskaun 18 peratus.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua, yang juga setiausaha politik kepada Menteri Kewangan Lim Guan Eng, menegaskan bahawa Najib gagal mengambil kira kenaikan lima peratus harga tol setiap tiga tahun di bawah skim lama.
Najib menolak hujah itu dengan berkata kerajaan BN sebelum ini telah menghalang kenaikan tol dengan membayar pampasan tahunan kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Khazanah Nasional Berhad.
"Tony dah lupa ke? Sejak tahun 2005 hingga kini, tol milik Plus tak pernah naik kerana kerajaan BN sanggup dan amat rela membayar pampasan tahunan kepada KWSP supaya tol tak naik harga.
"Kerana apa? Kerana kerajaan mahu pencarum KWSP mendapat dividen yang lebih setiap tahun," katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.
Pua sebelum ini berkata skim baru itu akan menjimatkan pampasan RM26 bilion kerajaan yang boleh disalurkan kepada program pembangunan dan kebajikan.
Ahli Parlimen Damansara itu juga mengkritik Najib kerana tidak memikirkan bahawa jumlah wang yang sama hari ini akan mempunyai nilai yang lebih rendah di masa depan dan mempersoalkan jika Najib sanggup meminjamkannya RM10,000 sekarang dan dibayar semula jumlah yang sama pada 2058.
Mengambil nilai nilai bersih semasa dengan kadar faedah sebanyak lima peratus, Pua berkata pengguna jalan raya masih akan membayar 7.1 peratus lebih rendah walaupun konsesi dilanjutkan 20 tahun.
Mengulas perkara itu, Najib berkata: "Saya pun tak pasti saya masih ada pada tahun 2058.
"Lagi baik dia pinjam RM100,000 kepada saya hari ini dan tengok jika saya atau dia masih ada pada tahun 2058, saya akan bayar balik dia RM200,000 masa itu," katanya.
Najib juga mempersoalkan sama ada nilai bersih semasa yang didakwa Pua realistik.
"Dengan menggunakan kadar diskaun lima peratus, dia sebenarnya kata kadar inflasi tahunan Malaysia akan meloncat naik ke lima peratus dan akan pada taraf lima peratus setiap tahun selama 38 tahun sehingga tahun 2058.
"Adakah ini realistik sedangkan kadar inflasi Malaysia tahun 2018 ialah 0.97 peratus?" katanya.
Najib mendakwa skim baru itu akhirnya akan menyebabkan penyumbang KWSP "memberi subsidi" tol tahunan kepada kerajaan dan pengguna jalan raya.

