JPJ nafi nombor kereta Zulhasnan berharga lebih RM60,000
Nombor kereta Menteri Wilayah Persekutuan, WPA 1 berharga RM60,780? Tidak benar, malah menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan, nombor itu sebaliknya diberikan percuma kepada menteri itu!
JPJ menafikan laporan sebuah akhbar mingguan kononnya Datuk Zulhasnan Rafique membelanjakan lebih RM60,000 bagi mendapatkan nombor pendaftaran WPA 1 untuk keretanya.
Laporan Bernama melaporkan, Pangarah JPJ Wilayah Persekutuan, Amir Abdul Hamid dalam satu kenyataan menjelaskan memang nama Zulhasnan tersenarai sebagai penempah yang berjaya bagi nombor siri WPA 1 dengan harga tawaran sebanyak RM60,780.
Bagaimanapun, katanya nombor siri WPA 1 itu ditawarkan secara percuma kepada Zulhasnan oleh ketua pengarah JPJ Malaysia.
Katanya ini selaras dengan keputusan Kabinet bahawa setiap menteri layak menerima satu nombor percuma sepanjang perkhidmatan sebagai menteri khusus untuk kenderaan rasmi sahaja.

