Jabatan Kesihatan negeri Kelantan menafikan dakwaan yang mengatakan seorang lelaki yang dihantar ke Hospital Tumpat hari ini disyaki dijangkiti koronavirus.

Pengarahnya, Dr Zaini Hussin berkata, dakwaan yang ditularkan di media sosial mengenai jangkitan koronavirus itu tidak benar sebaliknya lelaki berusia 50-an itu hanya menunjukkan tanda-tanda jangkitan saluran pernafasan.

"Lelaki berkenaan hadir ke Hospital Pakar Perdana (KPJ Perdana) hari ini untuk pemeriksaan sebelum hospital swasta berkenaan menghantar pesakit itu ke Hospital Tumpat, untuk pemeriksaan lanjut.

"Kes berkenaan bukan jangkitan koronavirus sebagaimana yang tular di media sosial," katanya dalam kenyataan kepada media, di Kota Bharu, Kelantan hari ini.

Terdahulu, tular gambar pesakit berkenaan berada di KPJ Perdana yang dikatakan dijangkiti koronavirus.

Pesakit berkenaan dikatakan demam dan mengalami jangkitan kuman selepas pulang dari Bangkok, Thailand.

Ia tersebar di media-media sosial khususnya aplikasi WhatsApp sejak pagi tadi.

Sementara itu, Dr Zaini berkata beliau berharap sebaran maklumat tidak benar mengenai perkara itu perlu dihentikan oleh semua pihak.