Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pendakwah Dr Zakir Naik memfailkan saman fitnah terhadap bekas Adun Batu Uban, S Raveentharan berhubung lima hantaran yang dimuat naik di laman Facebook pada Oktober tahun lepas.

Zakir, melalui firma guaman Messrs Akberdin & Co, memfailkan writ saman di pejabat Pendaftaran Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 12 Disember tahun lepas.

Menurut salinan Kenyataan Tuntutan yang dilihat oleh Malaysiakini hari ini, Raveentharan yang juga merupakan ahli PKR didakwa telah memuat naik lima hantaran Facebook itu antara 13 dan 17 Okt.

Zakir mendakwa lima hantaran Facebook itu dilakukan dengan niat jahat, kebencian, iri hati, dan / atau tanpa membuat pengesahan daripadanya berhubung dengan kebenaran dan kesahihan dakwaan dalam hantaran-hantaran tersebut.

Plaintif mendakwa bahawa defendan, melalui lima kenyataan yang dimuat naik itu, menggambarkan bahawa dirinya sebagai orang yang jahat dan merupakan ancaman kepada keselamatan negara, keamanan, dan keharmonian di Malaysia.

Zakir mendakwa bahawa kelima-lima kenyataan itu tidak berasas, tidak benar, rekaan, palsu, keseluruhannya dibuat-buat, dan / atau telah diubah dan cenderung untuk memenuhi agenda defendan.

"Pernyataan-pernyataan fitnah (1), (2), (3), (4) dan (5) tersebut (lima kenyataan dalam hantaran di FB) adalah jelas didorong oleh dendam, kebencian, iri hati, hasad dan/ atau tanpa membuat sebarang pengesahan mengenai kebenaran dan keesahan tuduhan-tuduhan di dalamnya daripada plaintif.

"Dengan menerbitkan pernyataan-pernyataan fitnah (1), (2), (3), (4) dan (5) tersebut, defendan telah secara nyata merujuk plaintif sebagai orang yang berpewatakan jahat dan telah menjadi ancaman kepada keamanan, kedamaian dan keharmonian negara Malaysia.

"Kesan-kesan yang terhasil daripada pernyataan-pernyataan fitnah (1), (2), (3), (4) dan (5) tersebut membentuk suatu libel dan slander (fitnah) yang serius dan tidak elok terhadap plaintif,” menurut dokumen mahkamah itu.

Zakir mendakwa bahawa peguamnya telah menghantar surat tuntutan bertarikh 1 Nov tahun lepas kepada Raveentharan, menuntut penarikan semula kenyataan berunsur fitnah, permintaan maaf dan / atau ganti rugi atas kenyataan tersebut.

Namun plaintif mendakwa bahawa defendan enggan berbuat demikian, mengabaikan dan / atau gagal memenuhi tuntutan plaintif itu.

Zakir sedang mencari injunksi mandatori untuk memaksa Raveentharan memadam lima hantaran berbaur fitnah itu dari internet dalam tempoh tujuh hari dari keputusan kehakiman (pronouncement of judgement) (jika berpihak kepada Zakir).

Plaintif mencari injunksi kekal untuk menghalang defendan daripada menerbitkan, mengedar, dan / atau memuat naik sebarang pernyataan yang memfitnah terhadap plaintif dalam apa jua cara sekalipun.

Zakir menuntut permohonan maaf diterbitkan dalam akhbar The Star, Berita Harian Sinar Harian, Tamil Nesan, Sin Chew Daily, portal berita dalam talian Free Malaysia Today, serta Facenook Raveentharan sendiri.

Menurut salinan Notis Permohonan oleh Raveentharan, yang juga seorang peguam, pengurusan kes esok berhubung dengan permohonannya untuk memindahkan saman tersebut ke Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.

Antara sebab yang dipetik untuk pemindahan itu ialah kerna saksi yang berpotensi untuk defendan panggil bagi kes saman tersebut semuanya berada di Pulau Pinang, di antaranya Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II P Ramasamy, Mufti Pulau Pinang Wan Salim Mohd Noor, Adun Bagan Dalam M Satees, dan seorang pegawai penyiasat berhubung laporan polis yang dibuat di Pulau Pinang.

Pada Ogos tahun lepas, Zakir telah mengeluarkan banyak permintaan terhadap tokoh politik terkenal seperti Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran, ahli parlimen Klang Charles Santiago, Satees dan bekas duta besar Dennis J Ignatius.

Notis Permohonan itu telah difailkan bagi pihak Raveentharan oleh firma perundangan di Pulau Pinang, Messr Baljit Singh & Company.

Pada Ogos tahun lepas, Zakir telah mengeluarkan banyak notis tuntutan terhadap ahli politik termasuklah Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran, Ahli Parlimen Klang Charles Santiago, Satees dan bekas duta besar Dennis J Ignatius.

Lihat Komen
ADS