Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dr M: Saya suruh Trump letak jawatan untuk selamatkan Amerika

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini menjelaskan gesaannya supaya Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump meletakkan jawatan adalah bagi menyelamatkan negara itu.

“Saya dapati orang Amerika baik-baik belaka, tetapi bukan presiden Trump.

“Saya suruh dia (Trump) letak jawatan untuk selamatkan Amerika,” katanya ringkas kepada pemberita.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan kedutaan AS di Kuala Lumpur semalam yang menyatakan kekecewaan terhadap Mahathir yang menasihatkan Trump meletakkan jawatan.

Mahathir dilaporkan memberi nasihat itu apabila diminta pemberita mengulas pelan damai Israel-Palestin yang disokong Trump, namun sebahagian besarnya tidak dipersetujui Palestin dan sekutunya.

Ia hadir ketika Trump sedang berusaha untuk dipilih semula pada pada pilihan raya presiden November ini.

Dalam kenyataan di Twitter, kedutaan AS di Kuala Lumpur berkata kenyataan Mahathir itu tidak selari dengan dialog konstruktif yang menjadi asas hubungan Malaysia dan AS.

Kenyataan itu turut menyorot bahawa hubungan dua hala AS-Malaysia telah memberikan hasil penting di rantau ini dan pada skala global.

Ketika ditanya pemberita nasihatnya kepada Trump memandangkan pelan damai Israel-Palestin yang disokong AS tidak dipersetujui Palestin dan sekutunya, Mahathir berkata: "Letak jawatan."

Mahathir juga menyifatkan Trump mencemarkan peranannya sebagai presiden AS apabila "cuba menggunakan tekanan asing untuk memenangi pilihan raya".

Mahathir berkata demikian selepas menyampaikan ucapannya pada persidangan ketiga Liga Parlimen Untuk Al-Quds di Kuala Lumpur.

Lihat Komen
ADS