Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Drama Band mohon maaf, jelaskan 'hanya jalan cerita kehidupan'

Vokalis Drama Band Aepul Roza tampil memohon maaf kepada pihak yang tersinggung susulan persembahan di Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-34 yang mencetus kontroversi dan kecaman netizen.

Jelasnya, ia merupakan sebuah jalan cerita kehidupan yang ingin dipamerkan dalam persembahannya.

“Maafkan kami atas salah silap kami.

“Kepada yang tersinggung, ampunkan kami. Hanya jalan cerita kehidupan, yang kadangkala warnanya tidak kita gemar,” katanya menerusi hantaran di akaun Instagram pagi ini.

Ia dibuat kira-kira 12 jam selepas tamat persembahan mereka di Bukit Jalil malam tadi.

Sewaktu mempersembahkan lagu Drama, band itu meniru dialog dalam rakaman audio didedahkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya dalam kes membabitkan bekas Perdana Menteri, Najib Razak dan isterinya, Rosmah Mansor pada 8 Januari lalu.

Kemudian, muncul dua watak badut, seorang individu lelaki berpakaian korporat dan seorang lagi wanita yang berbaju kurung sambil membawa beberapa beg tangan berjalan di karpet merah. Kedua-dua watak itu dipercayai menyerupai Najib dan Rosmah. Mereka diiringi beberapa watak badut lain di pentas.

Sambil berjalan, wanita tersebut bercakap: “Can I advise you something.”

Ungkapan itu sinonim dengan rakaman audio yang didedahkan Latheefa.

SPRM memutarkan rakaman audio perbualan yang didakwa maklumat bocor daripada Jabatan Peguam Negara kepada Najib sewaktu beliau masih perdana menteri dan perbualan lain berkaitan siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad dan SRC International Sdn Bhd.

Bukan setakat isu Najib dan Rosmah, Drama Band juga mempersembahkan adegan lain seperti kontroversi membabitkan seorang peserta Dewi Remaja yang dilucutkan gelaran juaranya selepas berhibur di kelab malam.

Sementara itu, Aepul turut mengucapkan terima kasih atas peluang yang diberikan buat ahli kumpulannya dalam membuat persembahan di anugerah berprestij tersebut.

Media Prima: Waktu latihan tak ada

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Television Networks, Johan Ishak tampil memberi penjelasan bahawa pihaknya tidak dimaklumkan terlebih dahulu mengenai konsep yang ingin dipersembahkan.

Kata Johan, tindakan dilakukan Drama Band itu boleh disifatkan sebagai penghasilan gimik keterlaluan khususnya sempena memberi impak pada malam final AJL34.

“Ia adalah salah satu contoh apabila peserta finalis menghasilkan gimik melampau. Padahal sewaktu sesi latihan, tak ada pun konsep terbabit (politik).

Menurutnya, Drama Band sewajarnya memaklumkan sekiranya mereka ingin tampil dengan elemen sensitif sedemikian.

“Sepatutnya mereka cakap dari segi mesej apa nak buat dengan konsep persembahan itu tapi tidak. Ni agak sensitif,” katanya yang akan memastikan tindakan sewajarnya diambil sekiranya kumpulan terbabit didapati melanggar kod kandungan penyiaran yang ditetapkan.

Lihat Komen
ADS