Garaj rumah pegawai kastam terbakar disyaki dilempar bom petrol
Rumah milik seorang pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan di Kampung Perupok di Kota Bahru, terbakar kira-kira 30 peratus, dipercayai akibat perbuatan khianat, awal pagi tadi.
Timbalan Ketua Polis Kelantan, SAC Abdullah Mat Piah ketika dihubungi berkata berdasarkan siasatan awal oleh Bahagian Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), kejadian pada kira-kira pukul 2.45 awal pagi itu dipercayai berpunca daripada perbuatan khianat.
Beliau berkata ketika kejadian ada enam penghuni di dalam rumah berkenaan, dan mereka menyedari kejadian itu selepas terdengar letupan di luar rumah.
"Penghuni rumah berkenaan yang terkejut dengan bunyi kuat, kemudiannya bergegas keluar rumah dan mendapati dua kenderaan, iaitu sebuah Toyota Yaris dan Toyota Triton sedang terbakar, dan bahagian garaj rumah itu rosak, terbakar kira-kira 30 peratus, dipercayai terkena lontaran bom petrol," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya bahagian Forensik JBPM turut menemui serpihan botol dan bau petrol di tempat kejadian selain satu pemetik api.
Abdullah berkata siasatan awal mendapati pemilik rumah dikenali sebagai Razman Che Dek, seorang pegawai JKDM yang bertugas di Unit Operasi.
"Tiada sebarang kecederaan dalam kejadian ini kerana isteri dan lima orang anak pegawai kastam itu sempat keluar rumah sebaik menyedari insiden. Polis akan menjalankan siasatan lanjut mengenai kejadian ini mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan khianat menggunakan api," katanya.
- Bernama

