Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kelantan mohon maaf 'salah faham' perarakan kereta berhias

Kerajaan Kelantan hari ini memohon maaf dan memberi penjelasan berhubung 'kekeliruan' yang berlaku kepada orang ramai yang menghadiri pelancaran Tahun Melawat Kelantan (TMK) 2020, pada Jumaat lalu.

Exco Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan Kelantan, Md Anizam Ab Rahman, berkata perarakan 10 kereta berhias yang mewakili setiap daerah itu diadakan sempena majlis pelancaran pada malam itu sahaja dan bukannya penganjuran besar-besaran untuk pertunjukan kereta berhias.

Menurutnya, orang ramai menerima maklumat yang tidak tepat dan berlaku salah faham berlaku apabila beberapa jalan ditutup dengan anggapan laluan tersebut akan digunakan untuk kereta berhias pada malam berkenaan.

"Pergerakan kereta berhias hanyalah dari stadium (Stadium Sultan Muhammad ke-IV) dan melalui hadapan tetamu diraja sahaja.

"Beberapa lokasi (jalan) yang ditutup seperti ditularkan itu adalah untuk sesi latihan sahaja seperti yang dipersetujui dalam mesyuarat induk.

"Jadi, terdapat salah faham dari segi penyebaran maklumat sekali gus mengundang rasa tidak puas hati pengunjung yang datang pada malam itu.

"Saya bagi pihak kerajaan negeri memohon maaf," katanya kepada media ketika ditemui di majlis Amanat Penghulu 2020 di Pengkalan Chepa, Kota Bharu, hari ini.

Md Anizam Ab Rahman

Terdahulu isu pertunjukan kereta berhias menjadi rungutan rakyat Kelantan di media sosial dengan pelbagai reaksi dalam kalangan pengunjung yang tidak berpuas hati.

Ramai antara mereka menyifatkan ia cuma membuang masa apabila tiada perarakan kereta berhias di beberapa lokasi jalan yang ditutup seperti yang tular dalam media sosial sebelum itu.

Sebagai rekod, pertunjukan kereta berhias amat popular dalam kalangan rakyat negeri Kelantan khususnya pada tahun 1990-an dan pertunjukan biasanya diadakan sempena sambutan Hari Keputeraan Sultan Kelantan.

Sementara itu Md Anizam berkata, kerajaan negeri sedar acara perarakan kereta berhias dinanti-nanti oleh rakyat Kelantan.

Sehubungan itu, katanya, tiada sebarang masalah di pihak kerajaan negeri untuk menganjurkan program perarakan kereta berhias khusus untuk rakyat di masa akan datang.

"Pada masa akan datang, jika ada perarakan kereta berhias kita akan kendalikan dengan cara yang terbaik demi kehendak rakyat.

"Mungkin kita akan anjurkan untuk sambutan hari kebangsaan atau mana-mana program besar lain dan amat sesuai diadakan di dalam stadium itu sendiri apabila semua pengunjung akan dapat saksikan secara jelas," katanya.

Lihat Komen
ADS