Sekumpulan 23 pengimport kayu balak bergergaji yang beroperasi di Pelabuhan Kuala Linggi berhimpun di pelabuhan tersebut semalam untuk merayu kepada Kastam Diraja Malaysia (KDRM) supaya menimbang semula syarat import kayu berkenaan.

Peraturan Lembaga Industri Perkayuan Malaysia (MITB) tidak membenarkan kayu bergergaji dari Indonesia berukuran lilit melebihi 152.4 sm dibawa masuk ke negara ini.

Isu import kayu balak bergergaji kini menarik perhatian ramai setelah ahli Parlimen Jasin Datuk Mohd Said Yusof dilaporkan meminta pegawai KDRM supaya "menutup sebelah mata" dan tidak merampas kayu yang diimport dari Indonesia walaupun ia tidak memenuhi spesifikasi.

Menurut pengimport terbabit, mereka pernah meminta bantuan ahli Parlimen Jasin itu untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka.

Katanya, mereka meminta bantuan Mohd Said atas kapasitinya sebagai wakil rakyat dan ejen perkhidmatan perkapalan dan penghantaran berpengalaman bagi menyelesaikan masalah kayu bergergaji mereka yang disita di pelabuhan itu oleh KDRM kerana tidak mengikut spesifikasi tersebut.

'Gulung tikar'

Menurut laporan Bernama, mereka mendakwa, tindakan KDRM tersebut mengakibatkan mereka mengalami kerugian besar dan berkemungkinan "gulung tikar".

"Sebagai wakil rakyat, beliaulah tempat kami mengadu, lagipun beliau lebih mengetahui perniagaan yang kami jalankan kerana syarikatnya Binyu Sof Enterprise merupakan sebuah daripada tujuh ejen perkhidmatan perkapalan dan penghantaran (di pelabuhan itu)," kata seorang pengimport Daud Adam Shah ketika ditemui di pelabuhan itu, semalam.

Daud berkata, pengimport sememangnya menghadapi masalah mematuhi peraturan MTIB itu kerana bekalan kayu yang diterima daripada pembekal seringkali melebihi saiz kerana ia dijalankan secara manual dalam hutan.

"Sudah tentu akan ada beberapa batang yang melebihi saiz dan kita terpaksa terima kerana bayaran telah dibuat, jadi kita bayar kompaun yang dikenakan tetapi janganlah kayu itu (terlebih ukuran) turut disita dan dilelong," katanya.

Goh Kim Tong pula berkata: "Kita tidak salahkan Kastam melaksanakan penguatkuasaan kerana itu tugas mereka tetapi kalau sudah dikenakan kompaun janganlah disita dan dilelong...matilah macam ini."

Mohamad Daud Omar pula meminta Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh pengimport berkenaan.