mk-logo
Berita
Makluman intipan siber cuma sekadar nasihat - CyberSecurity
Diterbitkan:  Feb 10, 2020 10:06 PM
Dikemaskini: 2:06 PM

Cybersecurity, agensi pakar teknikal keselamatan siber di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) berkata makluman Pasukan Respons Kecemasan Komputer mengenai kempen pengintipan siber mensasarkan para pegawai kerajaan cuma sekadar nasihat terhadap kemungkinan menghadapi keadaan itu.

"CyberSecurity Malaysia melalui MyCert mengeluarkan nasihat tepat pada masanya untuk memberikan panduan dan petunjuk kepada pengguna internet terutamanya di Malaysia supaya berhati-hati terhadap serangan atau ancaman siber.

"Makluman yang dikeluarkan pada 5 Feb, 2020 cuma sekadar nasihat mengenai kemungkinan aktiviti pengintipan siber di Malaysia.

"Makluman itu mengandungi informasi dalam bentuk nasihat dan panduan. Ia tidak merujuk kepada sebarang bentuk aktiviti penggodaman oleh mana-mana pihak atau negara termasuk China," kata CyberSecurity, dalam satu kenyataan hari ini.

Ia menegaskan nasihat itu bertujuan mempersiapkan organisasi untuk mengatasi ancaman siber yang baru muncul.

Agensi itu juga mengatakan makluman pihaknya adalah analisis dan merupakan sebahagian daripada modus operandi MyCert dan CyberSecurity, melalui perkongsian pintar dengan agensi keselamatan siber dari dalam dan luar Malaysia.

Kata CyberSecurity laporan media pada 8 Februari tidak tepat mengenai tujuan nasihat tersebut diberikan.

Sebelum ini, media melaporkan MyCert telah memberi amaran mengenai kempen siber yang mensasarkan pegawai kerajaan.

MyCert yang dalam maklumannya menyertakan pautan rujukan mengenai kajian terhadap kegiatan kumpulan pengintip siber APT40 yang dipercayai penyelidik bekerja untuk kerajaan China.

Ia juga melaporkan bahawa penggodam bertujuan untuk mencuri data mengenai projek yang disokong oleh kerajaan.

Lihat Komen
ADS