Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Angka kematian akibat koronavirus kini cecah 1,000
Diterbitkan:  Feb 11, 2020 8:44 AM
Dikemaskini: 12:44 AM

Angka korban akibat novel koronavirus, atau 2019-nCoV, kini mencecah lebih 1,000, apabila wilayah Hubei yang menjadi tempat virus itu mula menular mencatatkan 103 kematian pada Isnin.

Menurut Reuters hari ini, angka kematian itu merupakan yang tertinggi dalam masa satu hari, selepas 91 kematian sehari sebelumnya.

Bagaimanapun jumlah kes baru pada Isnin sedikit menurun, iaitu 2,097 kes pada Isnin berbanding 2,618 kes pada Ahad, menurut laporan itu lagi.

Semalam, agensi berita Xinhua melaporkan China memperuntukkan dana fiskal berjumlah 71.85 bilion yuan (US$3.3 bilion) dalam usaha mereka mengawal penularan wabak tersebut, dengan 31.55 bilion yuan daripadanya telah dibelanjakan.

Pada Jumaat lalu, Presiden China Xi Jinping dalam perbualan telefon dengan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump memberi jaminan bahawa negara itu akan dapat menangani 2019-nCoV, tanpa kesan jangka panjang kepada ekonomi.

Xi dilaporkan berkata, kerajaannya sedang berusaha berhabis-habisan dan dapat melihat hasil secara berperingkat.

Setakat ini, dilaporkan lebih 42,000 kes sah positif koronavirus di China serta 319 kes di 24 buah negara, termasuk satu kematian.

Berkenaan penyebaran kes di luar China, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) memberi amaran bahawa virus yang mula dikesan di Wuhan, bandar dalam wilayah Hubei, akhir tahun lalu itu, boleh menjadi "percikan yang menjadi api yang lebih marak", dan ia tidak boleh dibiar menjadi di luar kawalan.

Lihat Komen
ADS