story images
story images
mk-logo
Berita
Peguam Rosmah dakwa Mahdzir setuju terima rasuah RM60 juta
Diterbitkan:  Feb 11, 2020 12:16 PM
Dikemaskini: 5:18 AM

KES ROSMAH | Peguam Rosmah Mansor, Jagjit Singh menuduh bekas menteri pendidikan Mahdzir Khalid setuju memberikan kontrak pembekalan dan pemasangan tenaga solar kepada Jepak Holdings sebagai pertukaran kepada rasuah berjumlah RM60 juta.

Perkara itu dinyatakan ketika sesi pemeriksaan balas, di mana Jagjit mengajukan bahawa bos Jepak Holdings Saidi Abang Samsudin setuju untuk membayar RM1 juta sebulan selama lima tahun kepada Mahdzir.

Jagjit mendakwa Mahdzir setuju untuk menerimanya dan menulis arahan - di rumah sambil disaksikan Saidi - agar pegawai Kementerian Pendidikan menyediakan kertas kerja.

Mahdzir tidak setuju dengan kenyataan itu.

Jagjit juga mengajukan bahawa Rizal Mansor - bekas pembantu Rosmah - meminta RM5 juta dan RM125 juta daripada Jepak Holdings. Mahdzir turut tidak setuju dengna kenyataan itu.

Jagjit Singh

Peguam itu kemudian beralih kepada perbualan antara Mahdzir dan Rizal, yang dinyatakan dalam pernyataan bertulis saksi bekas menteri itu.

Jagjit berkata Mahdzir tidak pernah mengesahkan dengan Rosmah sama ada memang benar Rizal bercakap bagi pihaknya.

Menurutnya, Rizal memang suka memetik nama Rosmah.

Mahdzir: Saya kenal Rizal, dia pegawai Rosmah.

Jagjit: Ya, tapi kenapa anda tidak hubungi Rosmah secara terus? Anda kenal dia.

Mahdzir: Seperti yang saya cakap, ada Rosmah, Rizal dan Cikgu Aazmey (setiausaha Umno Pekan Ahmad Aazmey Abu Talib).

Jagjit: Mengapa anda tak hubungi dia?

Mahdzir: Saya tak hubungi dia.

Jagjit: Kenapa? Anda kenal dia.

Mahdzir: Sebab saya percaya apa yang Rizal beritahu kepada saya.

Jagjit: Alasan. Anda seorang menteri yang korup. Anda minta berjuta ringgit.

Mahdzir: Tak setuju.

Minggu lalu, Mahdzir memberitahu mahkamah bahawa Rizal menghubunginya bagi pihak Rosmah untuk menggesanya mempercepat kelulusan projek tenaga solar kepada Jepak Holdings.

Rizal Mansor

Dia berkata Rizal merujuk Rosmah sebagai "ma'am" dalam perbualan mereka.

Rosmah kini dibicarakan atas tuduhan meminta rasuah berjumlah RM125 juta daripada Jepak Holdings dan menerima rasuah RM1.5 juta daripada Saidi.

Sebelum ini Rizal turut didakwa berhubung kes itu tetapi pendakwaan kemudian menggugurkan pendakwaan terhadapnya.

Ia meningkatkan kebarangkalian bahawa dia akan dipanggil untuk memberi keterangan sebagai saksi.

Lihat Komen
ADS