Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis nafi pergaduhan libatkan kematian di kuil Sungai Petani

Polis Kedah akan mengambil tindakan terhadap penyebaran maklumat palsu mendakwa seorang individu yang tidak dikenali dipukul sehingga mati ketika upacara Thaipusam di sebuah kuil di Sungai Petani.

Bercakap kepada Malaysiakini, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Adzli Abu Shah berkata satu laporan akan dibuat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia kerana berkongsi kandungan jelik dan mengancam.

"Itulah 'berita palsu'. Kami akan buat laporan polis berhubung penyebaran maklumat palsu.

"Ada insiden, tetapi tidak membawa maut. Tiada kematian dan tak ada sesiapa telah dimasukkan ke wad," katanya ketika dihubungi.

Adzli berkata pegawai penyiasat telah menghubungi mangsa yang berada dalam keadaan"okay" dan dapat bercakap melalui telefon.

Ketika dihubungi, Bakar Arang Adun Simon Ooi juga menafikan kejadian itu, berdasarkan maklumat daripada pihak polis.

Video selama 26 saat kejadian itu dikatakan dimuat naik di Twitter malam tadi dan telah ditonton lebih 100,000 kali.

Kapsyen pada video itu mendakwa individu yang tidak dikenali itu meninggal dunia di tempat kejadian selepas dia dipukul di sebuah kuil di mana acara Thaipusam diadakan.

Difahamkan seorang pegawai telah membuat laporan polis pagi ini.

Dalam satu kenyataan berasingan, Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Supt Samsudin Mamat berkata sambutan perayaan Thaipusam di Sungai Petani berjalan lancar.

"Sepanjang perayaan Thaipusam hanya ada satu sahaja kes pergaduhan yang dilaporkan dan di dalam kejadian tersebut dua mangsa hanya cedera ringan sahaja.

"Tindakan pantas oleh pihak polis telah berjaya buat tangkapan ke atas tiga lelaki warga tempatan berumur antara 23 tahun hingga 27 tahun.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 324 dan seksyen 148 Kanun Keseksaan dan kesemua tangkapan direman selama empat hari sehingga 13 Feb 2020," katanya.

Seksyen 324 adalah berkaitan dengan sengaja menyebabkan kecederaan dengan menggunakan senjata berbahaya, manakala seksyen 148 adalah berkaitan dengan pemilikan senjata dalam rusuhan.



Lihat Komen
ADS