Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Koronavirus: Malaysia, S'pura tubuh jawatankuasa kerja bersama

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Singapura bersetuju menubuhkan jawatankuasa kerja bersama bagi menangani jangkitan koronavirus baru (2019-nCov).

Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad berkata perkara itu dipersetujui kedua-dua pihak melalui sidang video dua hala melibatkan Menteri Kesihatan Singapura, Gan Kim Yong.

“Perbincangan sebentar tadi berkisarkan kepada situasi semasa kejadian jangkitan 2019-nCoV di Malaysia dan Singapura, serta langkah-langkah yang sewajarnya dilaksanakan bagi menangani kejadian jangkitan berkenaan khususnya melalui pengukuhan kerjasama sedia ada.

“Dan melalui sesi perbincangan tersebut kedua-dua belah pihak telah bersetuju untuk menubuhkan satu Jawatankuasa Kerja Bersama yang diterajui oleh Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia dan Singapura,” katanya dalam sidang media di Putrajaya, hari ini.

Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata jawatankuasa itu akan dibentuk tidak lama lagi dan diketuai oleh timbalan menteri kesihatan kedua-dua negara.

“Objektif penubuhannya adalah bagi memperkukuhkan pelbagai usaha merentasi sempadan kedua-dua negara dan dipersetujui secara bersama.

“Para pegawai kanan dari Malaysia dan Singapura akan bekerjasama dan meneruskan perbincangan dalam masa terdekat bagi mengenal pasti terma rujukan,” katanya.

Tambah Dzulkefly, fokus kerjasama dua hala itu meliputi perkongsian maklumat dalam bidang kesihatan awam, perubatan dan penyelidikan bagi memastikan penularan jangkitan 2019-nCoV ditangani secara berkesan.

Antaranya, kata beliau, saringan dan pengurusan kes rentas sempadan Malaysia-Singapura, penyeragaman indikasi bagi penggunaan ubat anitiviral kepada pesakit yang disahkan positif 2019-nCoV dan mengenal pasti pegawai yang bertanggungjawab di kedua-dua kementerian bagi tujuan komunikasi berkenaan pengurusan kes 2019-nCoV dan pengesanan kontak rapat.

Malah, Dzulkefly berkata jawatankuasa bersama itu akan turut membincangkan kesan penggunaan ubat antiviral dalam kalangan mereka yang dikesan positif 2019-nCoV.

Mengenai nasihat perjalanan ke Singapura, Dzulkefly berkata ia antara isu yang akan dibincangkan oleh jawatankuasa.

Singapura pada Jumaat dilaporkan meningkat tahap penilaian virus Wuhan kepada peringkat jingga selepas 33 kes disahkan positif.

Setakat semalam, 45 kes positif dengan 23 daripadanya melibatkan rakyat Singapura.

Lihat Komen
ADS