Paling Popular
Terkini

Beberapa bekas pegawai kanan kerajaan mendapat pengiktirafan istimewa daripada Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad, malam ini kerana keberanian mereka mendedahkan skandal 1MDB.

Menyatakan penghargaan itu, Mahathir berkata, mereka ialah bekas peguam negara, Abdul Gani Patail, Dr Zeti Akhtar Aziz (bekas gabenor Bank Negara) dan Mohd Shukri Abdull (bekas ketua pesuruhjaya SPRM).

"Kita berada di sini untuk memberitahu kepada dunia bahawa semua pegawai antirasuah yang membayar harga (pengorbanan) yang begitu besar demi tugas mereka adalah juara serta wira kita," katanya dalam ucapan utama sempena pelancaran Yayasan Juara Antirasuah Antarabangsa Perdana di Putrajaya.

Sambil menyebut nama Abdul Gani, Zeti dan Mohd Shukri, Mahathir berkata mereka bertanggungjawab mendedahkan skandal 1MDB yang kini menyaksikan bekas perdana menteri, Najib Razak, dibicarakan di mahkamah atas berpuluh-puluh tuduhan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.

"Ia adakah kes signifikan yang menjadi titik perubahan kepada hala tuju politik serta mencetuskan kebangkitan dalam kalangan rakyat Malaysia.

"Keberanian dan kesungguhan kolektif mereka meruntuhkan rejim kleptokrat dalam satu paparan kuasa rakyat yang tidak pernah berlaku sebelum ini," katanya.

Pada majlis itu juga dua tokoh mendapat Anugerah Juara Antirasuah Antarabangsa Perdana, iaitu bekas timbalan pendakwa raya, mendiang Anthony Kevin Morais, serta bekas pegawai antirasuah Indonesia, Novel Baswedan.

Richard Morais (kiri) menerima penghargaan daripada Mahathir bagi pihak adiknya, Kevin

Morais dibunuh ketika sedang mengendalikan kes rasuah pada 2015, manakala Novel - bekas pegawai Komisi Pembanterasan Korupsi (KPK) - kehilangan sebelah matanya akibat disimbah asid pada Jun 2016.

Kata Mahathir, sebenarnya ada ramai lagi pegawai berani yang terpaksa berdepan dengan kegetiran bagi mempertahankan integriti masing-masing.

"Anugerah yang diberikan kepada Morais dan Novel ini adalah simbolik penghargaan kita untuk mereka," katanya.

Lihat Komen
ADS