Bekas ketua pegawai eksekutif Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) CM Vignaesvaran mungkin dibebaskan dari satu kes salah laku, tetapi terdapat kes-kes lain melibatkannya yang masih dalam siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Timbalan Pesuruhjaya SPRM Azam Baki mengesahkan bahawa masih ada beberapa kertas siasatan yang dibuka terhadap Vignaesvaran.

“Kami hanya membersihkannya daripada satu pertuduhan," katanya seperti dipetik The Malaysian Insight.

Azam tidak memperincikan siasatan tersebut dan hanya dipetik berkata: "Saya perlu semak semula dengan timbalan pendakwa raya apa sebenarnya pertuduhan yang tidak diteruskan itu."

Difahamkan SPRM telah memaklumkan Vignaesvaran bahawa kes terhadapnya telah diklasifikasikan sebagai "tiada tindakan lanjut" dalam surat bertarikh 5 Februari.

Semalam, Vignaesvaran memberitahu Malaysiakini beliau mengalu-alukan keputusan SPRM untuk membersihkan nama daripada sebarang kesalahan.

"Saya gembira kerana selepas hampir dua tahun melalui penderitaan ini, ia sudah berakhir," katanya, dan mengucapkan terima kasih kepada pihak berkuasa kerana profesional dan adil dalam siasatan.

"Saya hanya mahu meneruskan kehidupan seperti biasa dan berharap dapat dilantik ke sesuatu jawatan," katanya mengulas mengenai perancangan masa depannya.

Hari ini, Vignaesvaran memberitahu Malaysia beliau terkejut dengan perkembangan terbaru tersebut.

"Saya tidak tahu nak kata apa - Saya mempunyai surat yang menyatakan saya dibersihkan dan fail ditutup. Saya fikir itu adalah pengakhirannya dan saya boleh teruskan dengan kehidupan saya selepas dua tahun ini, "katanya.

Katanya lagi, dia sedang cuba menghubungi SPRM untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Pada Jun 2018, sebulan selepas PH menang PRU, HRDF yang berada di bawah Kementerian Sumber Manusia mengumumkan Vignaesvaran telah meletakkan jawatannya.

Pada masa itu, HRDF mendapat perhatian media berhubung dakwaan penyalahgunaan dana sebanyak RM300 juta.

Pada Nov 2018, Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran berkata "berjuta" wang HRDF digunakan untuk membeli hartanah dan membayar gaji serta bonus kepada beberapa orang yang terpilih.

Dalam beberapa kes, katanya, perkara itu dilakukan tanpa pengetahuan lembaga pengarah HRDF.

Beliau juga mendakwa bahawa beberapa penyedia latihan dan kakitangan pengurusan HRDF tertentu menyalahgunakan dana badan itu atas nama "latihan".