Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Kerajaan Kelantan mengumumkan penggunaan awal duit bantuan one off RM400 juta pemberian kerajaan persekutuan untuk melaksanakan tiga projek kesejahteraan rakyat.

Menteri besarnya, Ahmad Yakob berkata, penggunaan melibatkan RM52.5 juta bagi projek pembinaan dan baik pulih rumah asnaf (dhuaafat), pembaikan jalan kampung, dan pemulihan bekalan air bersih.

"Perkara ini diputuskan melalui mesyuarat exco hari ini, kita memutuskan peruntukan sebanyak RM400,000 di setiap dewan undangan negeri (DUN) untuk membina dan membaik pulih rumah dhuaafat iaitu bagi mereka yang berpendapatan kurang daripada RM1,000.

"Setiap rumah yang dibina bernilai antara RM38,000 hingga RM42,000. Selain itu, peruntukan RM100,000 di setiap DUN turut diberikan untuk menyelia jalan kampung.

"Sebanyak RM30 juta akan dibelanjakan bagi pemulihan bekalan air bersih di daerah tertentu termasuk Pasir Mas, Kota Bharu dan Bachok," katanya ketika ditemui selepas mesyuarat exco di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, hari ini.

Terdahulu, Kelantan menerima bantuan sekali beri atau one-off sebanyak RM400 juta daripada kerajaan persekutuan.

Surat khas mengenai bantuan berkenaan diterima daripada Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad pada 17 Disember lalu sebelum wang dimasukkan pada 25 Disember.

Pemberian one off itu kemudiannya dispekulasi oleh pelbagai pihak dengan andaian tertentu, antaranya dakwaan wang tersebut digunakan untuk membeli kereta rasmi kerajaan negeri dan pemberian bonus kepada exco berjumlah RM50,000.

Bagaimanapun kerajaan Kelantan menafikan semua dakwaan tersebut dan menegaskan ia tiada kena mengena dengan dana tersebut.

Sementara itu, Ahmad menegaskan, kesemua projek berkenaan akan dilaksanakan dalam masa terdekat demi kesejahteraan rakyat Kelantan.

"Kita juga akan mermaklumkan penggunaan wang ini kepada kerajaan pusat dan kerajaan negeri akan memaklumkan dari semasa ke semasa mengenai penggunaannya," katanya.

Lihat Komen
ADS