Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Sistem perwakilan berkadar (PR) yang dicadangkan Jawatankuasa Pembaharuan Pilihan Raya (ERC) bagi menggantikan sistem pemenang undi terbanyak (FPTP) hanya akan memberi kelebihan kepada DAP, kata Felo Penyelidik Majlis Profesor Negara (MPN) Dr Muhammad Asri Mohd Ali (atas).

Asri berkata pelaksanaan sistem PR juga memberi beberapa kesan negatif terhadap landskap politik negara.

Beliau berkata, perkara itu dapat dilihat berdasarkan simulasi yang dijalankan dengan mengambil pola pengundian masyarakat Cina seperti Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu dan sistem PR bagi pemilihan anggota Parlimen.

"DAP merupakan parti yang paling banyak mendapat kerusi di Parlimen berbanding parti-parti lain, pengundi mereka di bandar dan di negeri yang banyak kerusi bukan Melayu (Perak, Selangor dan Johor).

"Mereka (DAP) akan berhujah perdana menteri sepatutnya datang daripada mereka. Parti-parti yang mewakili pengundi Melayu (Umno dan PAS) dan pengundi Melayu sendiri akan merasa mereka kehilangan majoriti dan tidak popular di negara ini. Akan menjadi bahan lawak dan penghinaan oleh kaum lain.

"Kempen politik dan polisi-polisi utama negara akan tertumpu kepada negeri yang ramai penduduk bersifat urban, jurang bandar dan luar bandar akan melebar dalam jangka masa panjang," katanya yang juga pensyarah jabatan pengurusan pentadbiran dan politik Universiti Malaya (UM).

Beliau berkata demikian ketika membentang hasil penyelidikan kepada MPN di Kajang hari ini.

Jelas Asri, sistem PR yang dicadangkan ERC memberi kesan kepada usaha untuk membentuk kerajaan kerana kerjasama antara parti politik hanya akan terbentuk selepas keputusan PRU.

Berbanding sistem yang diguna pakai negara kini, sistem PR memberikan kemenangan jelas dan kerajaan senang dibentuk dengan majoriti mudah selain kestabilan rejim politik untuk jangka masa panjang.

Pada 30 Dis lalu, ERC memaklumkan akan mengusulkan kepada kerajaan untuk menggantikan sistem pilihan raya sedia ada, dari FPTP kepada sistem PR untuk kerusi parlimen.

Pengerusi ERC, Abdul Rashid Abdul Rahman berkata, hal itu kerana sistem PR lebih adil dan demokratik, selain menggalakkan parti politik untuk melebihkan khidmat mereka kepada rakyat serta menjadikan mereka lebih bersatu-padu.

“Selepas melihat sistem demokrasi maju di seluruh dunia, kami perasan bahawa meskipun kita selalunya mengundi untuk calon, tetapi di akhirnya, ia tetap tentang parti yang memerintah sesebuah negara.

“Jadi kami rasa kita perlu meniru apa yang diamalkan oleh negara-negara maju, dan kebanyakan daripada mereka guna sistem yang dikenali sebagai perwakilan berkadar,” katanya dalam wawancara dengan Malaysiakini di pejabatnya di Putrajaya.

Tambahnya, PR merupakan tawaran terbaik dan “paling adil” buat masa sekarang.

Sementara itu, bagi Pengerusi MPN, Profesor Ulung Dr Shamsul Amri Baharuddin mencadangkan refrendum ataupun pungutan suara rakyat diadakan bagi mendapat kepastian sama ada bersedia atau tidak dengan sistem baru itu.

"Nak ubah sistem ini refrendum yang paling sesuai, rakyat perlu ditanya.

"Anggota ERC juga harus didemokrasikan lagi, yang ada kini sebahagian besar wakil penyokong kerajaan, banyak lagi pihak berkepentingan lain, mana penjawat awam dan NGO," katanya.

Nada sama juga turut disuarakan seorang lagi anggota MPN, Profesor Dr Mohd Azizudin Mohd Sani yang menyifatkan tumpuan kini harus diberikan untuk menambah baik sistem pilihan raya yang ada kini.

Katanya tumpuan harus diberi kepada usaha untuk memperkemaskan lagi sistem pendaftaran undi dan beberapa elemen lain sebelum menuju kepada pelaksanaan sistem PR.

Lihat Komen
ADS