Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
KPDNHEP minta beri kelulusan segera kepada pengeluar topeng muka

Menteri Sumber Manusia M Kula Segaran diminta memberi kelulusan segera kepada mana-mana pengeluar topeng muka tempatan untuk tambahan waktu bekerja.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Saifuddin Nasution Ismail berkata ini bagi meningkatkan pengeluaran topeng muka ekoran penularan wabak Covid-19.

"Keutamaan kita adalah untuk membantu dari sudut memastikan jaminan bekalan (topeng muka) cukup.

“Caranya, kita minta pengeluar tempatan tambah pengeluaran.

“Kalau dalam usaha tambah keluaran itu, dia kata perlu tiga shift dan setiap shift pekerja kena bekerja 8 jam, manakala pekerja dia semua wanita. Dia (pengeluar) mesti dapat kelulusan khas daripada Kementerian Sumber Manusia,” katanya dalam sesi dialog bersama industri mengenai impak Covid-19, di KPDNHEP, Putrajaya, hari ini.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata perkara itu telah dibawa ke mesyuarat kabinet semalam.

“Saya minta izin datuk menteri (Kula), kalau permohonan tiga shift oleh pengeluar topeng tempatan sampai ke meja saudara, tolong beri kelulusan segera.

“Kalau ada pengeluar topeng muka yang menjadi keperluan sekarang ini, memerlukan pekerja mahir dan sebagainya saya minta dengan KDN beri kelulusan segera. Sebab itu cara kerajaan berfungsi,” katanya.

Selain itu, Saifuddin yang juga anggota Parlimen Kulim Bandar Baru berkata kerajaan hari ini tidak menetapkan sebarang had bagi pembelian penutup hidung dan mulut dan cecair pembasmi kuman.

Kata Saifuddin ini kerana pembelian besar-besaran hanya berlaku di sesetengah lokasi di negara ini.

"Pembelian besar-besaran tidak berlaku di seluruh negara, hanya di tempat tertentu saja," katanya.

Menurutnya, kerajaan sedang menumpukan untuk mencukupkan bekalan bagi memenuhi permintaan.

"Kita sedang bekerjasama dengan pengeluar tempatan untuk mencukupkan bekalan," katanya.

Beliau berkata, syarikat pengeluar telah menyatakan persetujuan untuk meningkatkan pengeluaran.

"Dalam perbincangan, mereka telah bersetuju dan saya telah memaklumkan kepada kabinet dan Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail selaku Pengerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA)," katanya.

Pada masa sama, Saifuddin berkata, kerajaan sedang melihat pilihan lain supaya pengilang dapat meningkatkan pengeluaran mereka.

"Kita telah bersetuju untuk memudahkan apa sahaja masalah yang mereka hadapi agar kerajaan dapat membuat pesanan kepada pengilang selepas mendapat persetujuan daripada Kementerian Kewangan," katanya.

Lihat Komen
ADS