Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Najib arah projek penjana diesel diganti dengan solar tanpa ujian rintis'

KES ROSMAH | Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu bahawa bekas perdana menteri Najib Razak mengarahkan supaya projek penjana diesel digantikan dengan solar hibrid bagi sekolah luar bandar Sarawak seperti dicadangkan oleh Jepak Holdings Sdn Bhd, tanpa melalui ujian rintis.

Bekas Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pendidikan, Dr Madinah Mohamad, 63, berkata Najib telah mengeluarkan arahan 'sila laksanakan seperti minit saya dulu' kepada Menteri Pendidikan Mahdzir Khalid pada minit bertarikh 7 Jun 2016.

"Dengan minit ini, ujian rintis dan kajian terperinci terhadap projek solar hibrid tidak boleh diteruskan lagi. Ini adalah kerana ujian rintis dan kajian terperinci mengambil masa untuk diselesaikan.

"Selain itu, keputusan serta takat pelaksanaan projek solar hibrid adalah bergantung kepada input yang diterima daripada ujian rintis dan kajian terperinci yang telah dibuat," katanya ketika membacakan penyataan saksinya pada hari keenam perbicaraan kes rasuah Rosmah Mansor berhubung projek tenaga solar.

Madinah yang juga bekas ketua audit negara, berkata arahan Najib itu dikeluarkan dalam jangka masa yang dekat dengan protes yang dibuat oleh Rayyan Radzwill Abdullah, rakan kongsi kepada Pengarah Urusan Jepak, Saidi Abang Samsudin berkenaan pelaksanaan projek solar hibrid secara ujian rintis.

“Rayyan juga tidak mahu ujian rintis dilaksanakan kerana ia akan menangguhkan proses kelulusan projek itu kepada Jepak dan Jepak terpaksa menanggung risiko kewangan sekiranya ujian rintis gagal,” katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib.

Saksi pendakwaan keenam itu berkata projek solar hibrid berkenaan mendapat sokongan "PM" (merujuk kepada Najib) seperti yang sering disebut oleh Rayyan.

Menurutnya, Mahdzir terus bersetuju untuk melaksanakan projek solar hibrid selepas mendapat minit daripada Najib dan mengarahkan beliau untuk bertindak segera.

Saksi itu berkata berdasarkan pengalamannya, walaupun Najib sering memberikan arahan melalui minit atas surat, bekas perdana menteri tersebut jarang memohon maklum balas daripada Kementerian Pendidikan berkenaan arahannya kecuali untuk kes yang luar biasa.

"Daripada pemerhatian saya, kes yang luar biasa adalah projek yang berupaya memberi manfaat politik kepada Najib. Bagi kes sebegitu, Najib akan bertanya status dan tindakan yang telah diambil sama ada daripada saya atau Mahdzir ketika mesyuarat atau di luar mesyuarat,” katanya.

Menurut Madinah, cadangan pelaksanaan projek solar hibrid diketengahkan oleh Jepak secara tiba-tiba untuk menggantikan projek penjana diesel dan projek baru itu mendapat kelulusan dan arahan pelaksanaan daripada Najib sendiri.

Katanya, Jepak menganggarkan pelaksanaan projek solar hibrid itu akan menelan belanja sebanyak RM1.25 bilion bagi tempoh lima tahun.

“Jepak tidak pernah membekalkan perincian kewangan yang teliti berhubung dengan pecahan RM1.25 bilion dalam tempoh jawatan saya sebagai KSU Kementerian Pendidikan," katanya yang turut memaklumkan Kementerian Pendidikan tidak mempunyai sebarang perancangan pembangunan untuk menggantikan projek penjana diesel dengan sistem solar hibrid.

Rosmah, 68, berdepan tuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan sebanyak RM6.5 juta daripada Saidi menerusi bekas pembantu Rosmah iaitu Rizal Mansor.

Ia sebagai dorongan untuk membantu Jepak mendapatkan projek mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Penjana/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra, di Kuala Lumpur, kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta, dan di Kediaman Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya, antara Januari 2016 dan 7 Sept, 2017.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung Isnin depan.

-Bernama

Lihat Komen
ADS