BERITA

Mimbar ingatkan jangan mudah terpedaya berita palsu

Diterbitkan
Dikemaskini 14 Feb 2020, 3:57 pagi

Khutbah Jumaat Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) hari ini mengingatkan umat Islam supaya jangan mudah terpengaruh dengan berita tidak sahih.

Menurut teks khutbah, penyebaran berita palsu lebih parah terutama dengan penularan wabak Covid-19 yang sedang melanda.

“Tidak dinafikan bahawa penularan wabak ini (Covid-19) di seluruh dunia boleh mencetuskan panik dalam kalangan masyarakat.

“Keadaan ini lebih parah dengan tersebarnya banyak maklumat, berita dan info yang tidak benar mengenainya khususnya di media sosial,” kata mimbar dalam teks khutbah bertajuk Masyarakat Membaca Menguasai Dunia.

Justeru, mimbar turut berpesan supaya menyelidik terlebih dahulu informasi yang diperoleh bagi mendapatkan maklumat yang tepat.

“Sehubungan itu, khatib berpesan agar kita jangan mudah terpedaya dengan info-info tidak benar, begitu juga info-info lain yang berbaur perkauman, permusuhan, pertelingkahan, kelucahan dan sebagainya.

“Selidiklah terlebih dahulu maklumat yang diperoleh, rujuklah kepada pihak yang berautoriti dan pihak berwajib bagi mendapatkan maklumat yang benar dan tepat.

Statistik terkini merekodkan bahawa terdapat 1,486 kematian Covid-19 di seluruh dunia.

Malaysia mempunyai 19 kes Covid-19 - enam warganegara Malaysia dan 13 warganegara China - dan tiada kematian direkodkan.

Tiga daripada 13 warga China itu telah pulih daripada jangkitan virus berkenaan.

Tambahnya, umat Islam juga perlu meningkatkan budaya membaca dalam mencari ilmu berkaitan isu semasa negara antaranya isu wabak Covid-19.

Kata mimbar lagi, pengetahuan berkenaan wabak tersebut bakal menjadi keperluan supaya dapat mengambil langkah berjaga-jaga dalam membendung penularannya.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.