Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kumpulan siswa tak puas hati langkah UM asingkan pelajar dari China
Diterbitkan:  Feb 16, 2020 9:13 PM
Dikemaskini: 1:14 PM

Gabungan kumpulan pelajar, Suara Siswa UM mengkritik tindakan pengurusan Universiti Malaya (UM) mengasingkan pelajar yang pulang dari China susulan kebimbangan wabak Covid-19 di negara itu.

Gabungan itu merangkumi Persatuan Belia Baru UM (Umany), Demokrat UM dan Angkatan Mahasiswa UM, berkata semua pelajar yang tiba dari China diminta menjalankan pemeriksaan kesihatan wajib dan diasingkan selama 14 hari di Kolej Kediaman Ke-10 (KK10).

Bagaimanapun, Suara Siswa UM mendakwa pengendalian pengasingan tidak dijalankan dengan teratur oleh pihak pengurusan universiti.

"Dasar pengasingan itu tidak dikuatkuasakan dengan betul. Pelajar yang diasingkan itu bersiar-siar di KK10 semasa tempoh pengasingan, menjadikan proses pengasingan tidak berguna.

"Selain itu, kemudahan di KK10 tidak setara dengan piawaian pengasingan, bilik mandi di KK10 dikongsi oleh beberapa bilik, peralatan seperti topeng dan sanitari tidak disediakan, dan tidak ada kawasan pelupusan yang ditetapkan untuk topeng yang digunakan.

"Kami juga menerima laporan terdapat sejumlah pelajar tempatan dan asing yang tinggal di KK10 bersama dengan lebih daripada 500 pelajar yang diasingkan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mereka menyuarakan kebimbangan bahawa keadaan sebegini mungkin akan menyebabkan penyebaran virus sekiranya ada pelajar yang telah dijangkiti berbanding untuk membendungnya.

Gabungan kumpulan siswa itu juga mendakwa pelajar yang menjadi sukarelawan untuk proses pendaftaran di KK10 juga diminta untuk menjalankan tugas di luar skop mereka.

"Para sukarelawan diperintahkan untuk menguruskan pelajar yang diasingkan di bilik pemeriksaan kesihatan, mencatat suhu mereka, mengedarkan makanan kepada mereka, membersihkan bilik tanpa peralatan perubatan, jaminan keselamatan, atau panduan profesional yang tidak lengkap," katanya.

Suara Siswa UM juga mendakwa terdapat aduan yang mengatakan pengurusan UM telah mengarahkan pelajar untuk diasingkan berdasarkan kewarganegaraan dan bukan rekod perjalanan.

"Sebagai contoh, seorang pelajar China yang tidak pernah pergi ke China selama enam bulan ditolak untuk mendaftar masuk ke Kolej Kediaman Kedua Belas.

"Dasar itu bukan hanya satu bentuk diskriminasi tetapi satu tindakan membahayakan kesihatan pelajar," kata mereka.

Mereka menggesa pengurusan UM untuk meminta maaf atas kekurangan dan memperbaiki dasar pengasingannya.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS