Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

LANGSUNG | Pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Nasharudin Amir, memberi keterangan sebagai saksi ketujuh pembelaan dalam perbicaraan Najib Razak hari ini.

Mohd Nasharudin ialah pegawai agensi antirasuah itu yang berpangkat penolong pesuruhjaya dan menjadi antara penyiasat kes 1MDB.

Najib dibicarakan atas tuduhan melakukan rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan 42 juta dana SRC International Sdn Bhd (SRC).

Perbicaraan dijalankan di depan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali. Peguam Negara, Tommy Thomas, bertindak sebagai ketua pendakwaan, manakala Muhammad Shafee mengetuai pasukan pembelaan.

LANGSUNG

11.32 pagi: Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali membenarkan prosiding ditangguhkan ke Isnin minggu depan.

Ini susulan perbincangan antara peguam pembelaan Najib Razak dan pihak pendakwa raya berhubung permohonan pembelaan untuk mengarahkan pegawai penyiasat SPRM ditemubual terdahulu sebelum dia memberi keterangan di mahkamah.

Penolong Pesuruhjaya SPRM Mohd Nasharudin Amir adalah saksi pembelaan dalam perbicaraan Najib yang didakwa menyalahgunakan kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang yang membabitkan RM42 juta daripada SRC International.


11.21 pagi: Prosiding diteruskan selepas rehat seketika.


IO SPRM akan ditemubual sebelum beri keterangan

10.48 pagi: Mahkamah Tinggi menetapkan Isnin minggu depan untuk mendengar permohonan oleh peguam pembelaan Najib Razak untuk menemubual pegawai penyiasat SPRM sebelum memberi keterangan sebagai saksi pembelaan.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menetapkan tarikh itu bagi membolehkan membenarkan kedua-dua peguam pembelaan dan pendakwaan untuk membuat hujahan mengenai isu itu.

Saksi yang dimaksud itu ialah Penolong Pesuruhjaya SPRM Mohd Nasharudin Amir.

Prosiding rehat seketika.


Peguam bela minta temu bual saksi dulu

10.10 pagi: Shafee membuat permohonan lisan agar hakim mengarahkan Mohd Nasharudin ditemu bual oleh peguam bela sebelum memberi keterangan di mahkamah.

Kata Shafee, hal itu perlu kerana pegawai terbabit enggan ditemu bual sedangkan ia penting untuk mereka di peringkat pembelaan sekarang.

"Kami berhak menemu bual saksi agar kami mendapat bukti yang relevan, supaya tiada bukti mengarut didatangkan ke mahkamah, dalam usaha memastikan perbicaraan yang adil," katanya.

Bagaimanapun Thomas berhujah, seseorang saksi boleh memilih untuk tidak ditemu bual sebelum memberi keterangan dan ia adalah proses biasa.

Kata peguam negara itu, Mohd Nasharudin sudah ada di bilik saksi dan bersedia memberi keterangan sebagai saksi ketujuh pembelaan. 


10.06 pagi: Najib memasuki kandang tertuduh


9.59 pagi: Najib memasuki mahkamah dan mengambil tempat di kerusi depan.

Turut kelihatan bersedia untuk memulakan perbicaraan ialah Peguam Negara, Tommy Thomas, timbalan-timbalan pendakwa raya dan peguam bela Najib.

Perbicaraan hari ini bermula sedikit lewat kerana peguam bela Najib perlu menguruskan hal berkaitan tertuduh terlebih dulu.

Lihat Komen
ADS