Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Hari 7: Peguam kurang sihat, bicara disambung esok

LANGSUNG | Hari ketujuh perbicaraan isteri bekas perdana menteri, Rosmah Mansor, hari ini menyaksikan bekas menteri pendidikan Mahdzir Khalid menyambung keterangannya di depan hakim Mohamed Zaini Mazlan, sebelum diikuti bekas pegawai kanan kerajaan, Madinah Mohamad.

Rosmah berdepan dua tuduhan rasuah berkaitan projek tenaga solar untuk 369 sekolah di kawasan pedalaman Sarawak.

Projek itu bernilai RM1.25 bilion dan dianugerahkan kepada syarikat Jepak Holdings Sdn Bhd (Jepak Holdings) melalui kaedah rundingan terus.

Bekas hakim kanan, Gopal Sri Ram, bertindak sebagai ketua pendakwaan, manakala Jagjit Singh dan Akberdin Abdul Kadir bertindak sebagai peguam bela Rosmah. 

Madinah ialah bekas ketua setiausaha Kementerian Pendidikan yang kemudian dilantik menjadi Ketua Audit Negara menggantikan Ambrin Buang. 

Saksi seterusnya yang memberi keterangan hari ini ialah Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, Othman Semail.

LANGSUNG 

3.55 petang: Saksi ketujuh pendakwaan, Othman Semain, tamat membaca keterangannya.

Pihak pembelaan pula memberitahu mahkamah mereka tidak dapat melakukan pemeriksaan balas hari ini kerana salah seorang daripada mereka - Akberdin Abdul Kader - tidak begitu sihat.

Akberdin sepatutnya menyoal balas Othman dan Madinah.

Peguam itu malah tidak berada di mahkamah sebaliknya pulang selepas mahkamah berhenti rehat tengah hari tadi.

Hakim Mohamed Zaini kemudian bersetuju untuk menyambung perbicaraan pada pagi esok.

Beliau juga memberitahu Othman agar tidak membincangkan keterangannya dengan sesiapa kerana aan dipanggil semula untuk memberi kenyataan.


2.25 petang: Kata Othman, beliau menerima arahan daripada Najib pada 5 Ogos 2016 agar tetap berunding secara langsung dengan syarikat Jepak Holdings untuk projek hibrid solar di Sarawak.

Ketika itu, kata saksi terbabit, beliau mengetuai jabatan perolehan kerajaan untuk Kementerian Kewangan, manakala Najib pula berkhidmat sebagai perdana menteri dan menteri kewangan.

Katanya, Najib memberikan arahan mengenai rundingan terus tersebut melalui satu minit (catatan) yang ditulis di atas sepucuk surat daripada Jepak Holdings bertarikh 23 Julai 2016.


2.15 petang: Perbicaraan sesi petang bermula. Pihak pendakwaan meneruskan menyoal saksi ketujuh mereka, Othman Semail.

Othman ialah timbalan ketua setiausaha Kementerian Kewangan.

Othman Semail


12.35 tengah hari: Mahkamah berhenti rehat.


11.48 pagi: Perbicaraan bersambung.

Kali ini pihak pendakwaan memanggil saksi ketujuh, Othman Semail, untuk memberi keterangan. 

Othman ialah Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan. 


11.35 pagi: Mahkamah berehat sebentar.


11.20 pagi: Di antara Okt 2017 dan Mei 2018, Madinah berkata, beliau mendapati berlaku perselisihan faham di pihak Pengarah Urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin, dengan rakan kongsinya, Rayyan Radzwill Abdullah.

Kata saksi terbabit, beliau mendapat tahu hal itu melalui mesej teks yang dihantar Rayyan.

"Daripada mesej-mesej tersebut saya mendapati Rayyan telah berselisih faham dengan Saidi dan Rayyan sedang berusaha untuk merampas kontrak projek solar hibrid daripada Saidi," katanya.

Menurut bekas ketua setiausaha Kementerian Pendidikan itu lagi, Rayyan juga mengugutnya agar membantu mengaturkan pertemuan dengan Najib agar projek tersebut dapat diambil alih.

"Rayyan juga memberitahu saya bahawa dia akan membongkarkan penglibatan PM dan Mem dalam urusan perolehan projek tersebut kepada pembangkang sekiranya saya tidak membantu beliau," katanya.


10.48 pagi: Pada 2016, kata Madinah, menteri pendidikan ketika itu, Mahdzir Khalid, ada mengadu kepadanya mengenai tekanan yang dikenakan oleh Najib berhubung projek di Sarawak.

Antara lain, kata Madinah, Mahdzir mengadu mengenai kemarahan Najib apabila projek hibrid itu lewat dilaksanakan.

Kata saksi terbabit, Mahdzir juga bimbang mengenai kesan kewangan dan perundangan yang akan dihadapi Kementerian Pendidikan jika kontrak sedia ada untuk membekalkan tenaga elektrik ke sekolah di Sarawak dibatalkan atas arahan Najib.


10.39 pagi: Menurut saksi, beliau tidak akan melayan cadangan Jepak jika bukan kerana Najib.

Hal itu kerana, kata Madinah, Jepak tidak pun menyediakan pecahan kos untuk projek berkenaan, serta butiran bidang kerja mereka.

Katanya lagi tiada perunding bertaulian dilantik oleh syarikat berkenaan untuk menjalankan projek tersebut.

"Projek hibrid solar itu sendiri tak ada dalam pelan pembangunan Kementerian Pendidikan sebelum ini," katanya.

Madinah Mohamad


10.25 pagi: Madinah berkata beliau bingung mengapa suami Rosmah, Najib, mengeluarkan arahan agar projek solar hibrid dijalankan pada 2016 tanpa melalui perancangan dan kajian.

Kata bekas ketua setiausaha kementerian pendidikan itu, berdasarkan pengalamannya sebelum ini, Najib ialah seorang ketua yang berwawasan, memandang ke depan dan bijak.

"Datuk Seri Najib sentiasa berhati-hati dengan kos dan keperluan melaksanakan mana-mana projek," katanya.


10.15 pagi: Pihak pendakwaan selesai menyoal Mahdzir dan beliau dilepaskan sebagai saksi.

Menyusul selepas Mahdzir ialah Madinah.


10.01 pagi: Perbicaraan bermula dengan pihak pendakwaan, Gopal, menyoal Mahdzir.

Lihat Komen
ADS