Istilah asing seperti Boulevard, Promenade, Parcel dan Presint yang digunakan untuk menamakan jalan atau tempat di Putrajaya akan digantikan dengan bahasa kebangsaan tidak lama lagi.

Setiausaha Parlimen Kementerian Wilayah Persekutuan Yew Teong Look berkata penukaran itu bagi memartabatkan bahasa kebangasaan.

"Penukaran istilah tersebut adalah seiring dengan hasrat untuk memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan," katanya ketika menjawab soalan Senator Datuk Abdul Rashid Ngah pada persidangan Dewan Negara hari ini.

Menurut laporan Bernama, sebuah Jawatankuasa Istilah dan Penamaan Perbadanan Putrajaya juga sudah ditubuhkan bagi tujuan tersebut yang dipengerusikan oleh Perbadanan Putrajaya dan diwakili oleh pengarah Jabatan Landskap dan Taman Perbadanan Putrajaya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), dan Putrjaya Holding Sdn Bhd.

"Lain-lain anggota jawatankuasa itu ialah jabatan-jabatan di bawah Perbadanan Putrajaya termasuk Jabatan Undang-Undang," katanya.

Beliau berkata setelah usul penukaran istilah dibuat oleh jawatankuasa tersebut ia akan diajukan kepada Pengerusi Pengurusan Perbadanan Putrajaya untuk persetujuan.

"Setelah dipersetujui cadangan tersebut akan dikemukakan ke Kementerian Wilayah Persekutuan untuk keputusan akhir sebelum dikemukakan ke kabinet," katanya.

Setakat ini beberapa istilah asing yang digunakan di Putrajaya sudah pun ditukarkan ke Bahasa Malaysia contohnya, "Perdana Walk" yang ditukar kepada Laman Perdana dan "Lake Recreation Center" ditukar kepada Pusat Rekreasi Air.